Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan mengkaji faktor yang menyebabkan jurang ketara antara jumlah kekosongan jawatan yang diiklankan menerusi portal MYFutureJobs dengan jumlah penempatan pekerjaan yang berjaya direkodkan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Tuan Sim Chon Siang berkata, sebanyak 443,944 kekosongan jawatan telah diiklankan menerusi portal berkenaan sejak diperkenalkan pada 2020 hingga 6 November lalu, namun hanya 45,457 penempatan pekerjaan berjaya direkodkan.
“Sektor perkhidmatan mencatatkan 31,234 kekosongan jawatan dengan 3,975 penempatan pekerjaan, manakala sektor pertanian merekodkan 12,209 kekosongan dengan 76 penempatan.
“Sektor pembinaan pula merekodkan 12,086 kekosongan dengan 559 penempatan, manakala sektor pembuatan mencatatkan 10,026 kekosongan dan 947 penempatan. Sektor perlombongan dan kuari merekodkan 684 kekosongan dengan 31 penempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, YB Tuan Chan Chun Kuang pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
MYFutureJobs merupakan Portal Pekerjaan Nasional kendalian PERKESO yang berfungsi membantu majikan mengiklankan kekosongan jawatan serta memadankan pencari kerja dengan peluang pekerjaan bersesuaian.
Isu ketidakpadanan antara kekosongan jawatan dengan penempatan pekerjaan itu turut membabitkan persoalan mengenai kesesuaian kelayakan pencari kerja, tawaran gaji, kemudahan serta persekitaran kerja yang ditawarkan majikan.
Dalam sesi sama, ADUN Beserah, YB Dato’ Haji Andansura Rabu turut membangkitkan cabaran majikan mendapatkan pekerja, khususnya dalam sektor pertanian dan industri keluli yang memerlukan tenaga fizikal serta berdepan persekitaran kerja panas.
Mengulas perkara itu, beliau berkata, pihaknya bersama PERKESO akan meneliti faktor yang menyumbang kepada jurang penempatan pekerjaan berkenaan sebelum mengemukakan penjelasan lanjut kepada Dewan. -PAHANGMEDIA

