Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang akan memberi keutamaan kepada acara sukan yang berpotensi menyumbang pingat emas terbanyak sebagai strategi memperkukuh prestasi kontinjen negeri pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, pemilihan sukan berkenaan akan dibuat berdasarkan rekod prestasi, kekuatan atlet serta peluang untuk bersaing dalam temasya tersebut.
Menurut beliau, langkah itu merupakan antara tujuh inisiatif yang dirangka Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Pahang (MSP) hasil sesi pasca-SUKMA Selangor bagi meningkatkan pencapaian kontinjen Pahang.
“Pertama, memberi keutamaan kepada sukan yang berpotensi menyumbang pingat emas terbanyak kepada Pahang berdasarkan rekod prestasi, kekuatan atlet dan juga peluang untuk bersaing.
“Kedua, memperkukuh pelaksanaan program latihan berprestasi tinggi secara lebih sistematik melalui peningkatan kemahiran dan kepakaran jurulatih selain memperluas kerjasama dengan pakar sains sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB Tuan V. Arumugam pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada usaha pencarian bakat baharu secara berterusan menerusi kerjasama dengan persatuan sukan negeri, Jabatan Pendidikan Negeri, sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Penyertaan atlet dalam kejohanan yang lebih kompetitif di peringkat kebangsaan dan antarabangsa turut dipertingkat bagi menambah pengalaman serta membina keyakinan mereka.
Tambah beliau, inisiatif lain termasuk menambah baik peralatan dan infrastruktur sukan, melaksanakan penilaian prestasi secara berkala berasaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta memperkukuh kebajikan jurulatih menerusi penyelarasan gaji yang lebih kompetitif.
“Matlamatnya bukan sahaja untuk meningkatkan pungutan pingat emas dan memperbaiki kedudukan Pahang dalam SUKMA akan datang, malah melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi yang boleh membawa nama Pahang di persada kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, segala perancangan tersebut akan diberi perhatian bagi memastikan persiapan dapat dilaksanakan lebih awal, selain menetapkan sasaran pingat yang realistik dan kompetitif menjelang SUKMA 2028.
Pahang sebelum ini menamatkan saingan SUKMA Selangor dengan kutipan 28 pingat emas, 19 perak dan 36 gangsa, sekali gus mencatatkan pungutan emas tertinggi dalam tiga edisi terakhir temasya berkenaan. -PAHANGMEDIA

