Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 NOVEMBER 2026: Kerajaan Negeri Pahang telah menyalurkan sebanyak RM135.4 juta bantuan kebajikan kepada 32,452 penerima menerusi pelbagai skim bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga September 2026 bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan, JKM menyediakan lapan skim bantuan kewangan bulanan dengan kadar antara RM200 hingga RM1,000 sebulan, tertakluk kepada jenis skim dan syarat kelayakan yang ditetapkan.
“Sehingga September 2026, JKM menyediakan lapan skim bantuan kewangan bulanan, dengan kadar bantuan antara RM200 hingga RM1,000 sebulan, tertakluk kepada skim dan syarat kelayakan yang ditetapkan.
“Skim-skim tersebut adalah Bantuan Kanak-Kanak (BKK); Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU); Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB); Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Terlantar / Pesakit Kronik Terlantar dan Pesakit Kronik Tidak Terlantar (BPT); Bantuan Warga Emas (BWE); Bantuan Anak Pelinara (BAP); Bantuan Latihan Perantis (BLP); dan Bantuan Am (Negeri).
“Selain bantuan kewangan bulanan, JKM juga menyediakan bantuan sekaligus kepada penerima yang memenuhi syarat kelayakan iaitu bantuan alat tiruan, geran pelancaran dan tabung bantuan segera (TBS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, YB Tuan Hasan Omar pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Pahang turut melaksanakan pendekatan pemerkasaan ekonomi penerima bantuan menerusi program keusahawanan 2 years Exit Programme (2YEP) bagi membantu mereka meningkatkan pendapatan, mencapai kemandirian ekonomi dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kebajikan.
“Program ini bertujuan membantupenerima bantuan meningkatkanpendapatan melalui aktiviti ekonomi yang bersesuaian, seterusnya mencapai tahap kemandirian dan mengurangkankebergantungan kepada bantuan kebajikan.
“Pada tahun 2025, kadar geran tersebuttelah dinaikkan kepada RM5,000 bagi setiap penerima untuk memperkukuh keupayaan mereka memulakan atau mengembangkan aktiviti ekonomi yang dijalankan,” katanya
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan Kerajaan Negeri melalui JKM akan terus memperkukuh mekanisme pemantauan dan penilaian bagi memastikan bantuan yang disalurkan bukan sahaja dapat meringankan beban kos sara hidup dalam jangka pendek, malah berupaya meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan hidup rakyat secara berterusan. -PAHANGMEDIA

