Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 NOVEMBER 2026 : Pahang terus menerajui pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Malaysia dengan memiliki 19 lokasi, iaitu jumlah tertinggi berbanding negeri-negeri lain, dengan nilai pengeluaran mencecah RM33.74 juta pada tahun 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, keseluruhan pengeluaran hasil tanaman TKPM di negeri ini mencapai 12.83 juta kilogram tahun lalu.
“Negeri Pahang terus menerajui pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Malaysia dengan 19 lokasi, iaitu jumlah tertinggi berbanding negeri-negeri lain. Sebagai perbandingan, Selangor mempunyai sepuluh TKPM, Johor sembilan, Terengganu lima, dan Kelantan tiga.
“Pencapaian ini turut diterjemahkan melalui hasil pengeluaran TKPM Pahang pada tahun 2025 sebanyak 12.83 juta kilogram dengan nilai pengeluaran mencecah RM33.74 juta.
“Keberhasilan ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membangunkan sektor agromakanan, mengoptimumkan penggunaan tanah serta meningkatkan pendapatan peserta TKPM, sekali gus memperkukuh keterjaminan makanan negeri,” katanya.
Menurut beliau, sehingga Oktober tahun ini, jumlah pengeluaran hasil tanaman daripada 19 lokasi TKPM di Pahang telah mencapai 11.52 juta kilogram dengan tanaman nangka menjadi penyumbang terbesar.
“Tanaman nangka dengan pengeluaran sebanyak 2.58 juta kilogram atau 22.39 peratus, diikuti timun sebanyak 1.79 juta kilogram (15.50 peratus), nanas 1.14 juta kilogram (9.89 peratus), kacang panjang 925,715 kilogram (8.04 peratus) dan pisang 818,738 kilogram (7.11 peratus).
“Lima tanaman utama tersebut menyumbang kira-kira 62.93 peratus daripada keseluruhan pengeluaran, menunjukkan TKPM Pahang memberi sumbangan signifikan kepada pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran, khususnya komoditi yang mempunyai permintaan pasaran tinggi.
“Dari segi lokasi, TKPM Lanchang, Temerloh mencatatkan pengeluaran tertinggi sebanyak 4.28 juta kilogram, diikuti TKPM Lebu, Bentong sebanyak 2.19 juta kilogram. Pencapaian ini menunjukkan potensi TKPM sebagai kawasan pengeluaran makanan komersial yang mampu menyumbang kepada ekonomi agro negeri dan memperkukuh keterjaminan makanan,” katanya.
Mengulas mengenai pembangunan TKPM di Cameron Highlands, beliau berkata, Kerajaan Negeri belum mempunyai perancangan untuk membangunkan TKPM baharu di daerah berkenaan memandangkan kawasan pertanian sedia ada mempunyai potensi dan kapasiti pengeluaran yang tinggi.
“Buat masa ini, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Pahang belum mempunyai perancangan untuk membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) baharu di Daerah Cameron Highlands.
“Walaupun tidak mempunyai kawasan TKPM, Daerah Cameron Highlands merupakan antara kawasan pengeluaran pertanian yang produktif, khususnya bagi tanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan bernilai tinggi.
“Berdasarkan rekod Jabatan Pertanian, daerah ini mencatatkan nilai pengeluaran pertanian sebanyak RM2.72 bilion pada tahun 2025 dan RM1.69 bilion sehingga September 2026.
“Antara tanaman utama yang menyumbang kepada pencapaian tersebut ialah tomato, salad, kubis bulat, kekwa dan sawi, di samping tanaman strawberi yang merupakan antara tanaman ikonik Cameron Highlands,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, YB Ho Chi Yang pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. – PAHANGMEDIA

