Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 24 NOVEMBER 2026 : Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menjadi pemangkin kepada perubahan landskap ekonomi dan pembangunan negeri-negeri di Pantai Timur, sekali gus merapatkan jurang pembangunan dengan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah, kewujudan ECRL serta Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) diharap dapat mempercepatkan pembangunan di Pantai Timur, khususnya Pahang yang mempunyai tujuh stesen ECRL.
Paduka Baginda bertitah, kemajuan pembangunan di Pantai Barat sebelum ini banyak dipacu oleh kemudahan jaringan pengangkutan seperti perkhidmatan kereta api dan lebuh raya yang dibangunkan lebih awal berbanding Pantai Timur.
“Kalau kita perhatikan perbezaan pembangunan di Malaysia, Malaysia sebelah Semenanjung, sebelah barat dan sebelah timur, kita perhatikan sebelah barat lebih maju dan lebih banyak pembangunan dibandingkan dengan di Pantai Timur.
“Ini kerana sebab adanya kereta api dan sebab adanya ‘highway’ yang lebih terdahulu daripada di sebelah Pantai Timur.

“Kita harap dengan adanya terbinanya ECRL ini, terbinanya dengan highway LTU (Lingkaran Tengah Utama), dan harap lagi di sebelah Pantai Timur akan dapat maju dan dengan penuh pembangunan,” titah Paduka Baginda ketika berkenan bercemar duli berangkat merasmikan Stesen ECRL KotaSAS di sini, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), YBhg. Tan Sri Dr. Shamsul Azri Abu Bakar; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan dan pemimpin setempat.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut berharap ketujuh-tujuh stesen ECRL di Pahang tidak sekadar berfungsi sebagai tempat persinggahan penumpang, sebaliknya dibangunkan sebagai hab ekonomi yang mampu merancakkan aktiviti perniagaan dan pembangunan setempat.

“Menyentuh tentang di Pahang ini kita bersyukur kerana kita dapat tujuh stesen seperti yang disebut tadi dan saya harap setiap stesen ini akan jadi satu stesen ataupun hab pembangunan ekonomi.
“Jangan sekadar hanya ada stesen tetapi tidak memajukan gerakan ekonomi setempat khususnya di semua daerah yang mempunyai stesen kereta api ini,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua pemimpin terdahulu dan pihak yang terlibat secara langsung dalam menjayakan projek ECRL yang melalui beberapa fasa perubahan kerajaan sejak mula dicadangkan sekitar 2016 hingga 2017.
Titah Paduka Baginda, projek berkenaan diteruskan oleh lima Perdana Menteri dan melalui tempoh pemerintahan tiga Yang di-Pertuan Agong sepanjang proses pembinaannya, sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan dalam memastikan projek itu dapat disiapkan.
Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) serta semua pihak yang terlibat dalam pembinaan projek berkenaan yang kini mencapai kemajuan sebanyak 99 peratus, selain mencatatkan kemajuan lebih pantas berbanding jadual yang ditetapkan.
Paduka Baginda turut mengingatkan pihak pengurusan dan operasi ECRL supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan bagi memastikan kelancaran perkhidmatan serta mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. -PAHANGMEDIA

