Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM21.53 juta menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 bagi menghargai sumbangan pelbagai golongan termasuk petugas sokongan, anggota keselamatan, pekerja pembersihan, pertubuhan sukarela, gerakan koperasi serta pekerja ekonomi gig.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan berkenaan merangkumi pelbagai program pengiktirafan, kebajikan dan pemerkasaan sosial sebagai usaha memastikan golongan yang menyumbang kepada pembangunan negeri terus mendapat perhatian.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak RM15.18 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program pengiktirafan, kebajikan dan pemerkasaan sosial, termasuk RM10.38 juta bagi Program Bakti Negeri Pahang 1st.
“Bagi menghargai sumbangan mereka, RM15.18 juta diperuntukkan bagi program pengiktirafan, kebajikan dan pemerkasaan sosial, antaranya RM10.38 juta bagi Program Bakti Negeri Pahang 1st; RM3 juta bagi Program Subsidi Pembelian Motosikal Tanpa Faedah Pahang 1st; RM1.1 juta bagi Program Sumbangan Topi Keledar Pahang 1st; dan RM700,000 kepada Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang.
“Di samping itu, sebanyak RM5.25 juta disediakan bagi menghargai petugas dan rakan strategik, RM2 juta bagi Baucar Kumpulan Sokongan Pahang 1st; RM2 juta bagi Baucar Anggota Keselamatan Pahang 1st.
“RM800,000 bagi Program Apresiasi Pekerja Pembersihan Pahang 1st; RM200,000 bagi Hari Koperasi Negeri Pahang dan Majlis Apresiasi Koperasi Pahang 1st; RM100,000 kepada Drugs Intervention Community (DIC); dan masing-masing RM75,000 kepada PENGASIH dan PEMADAM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada pekerja ekonomi gig yang semakin memainkan peranan penting dalam aktiviti ekonomi semasa.
Sehubungan itu, sebanyak RM1.1 juta diperuntukkan bagi memperkenalkan Inisiatif Bantuan Negeri Pahang Gig sebagai sebahagian daripada usaha memperluas jaringan kebajikan kepada golongan berkenaan.
“Justeru, RM1.1 juta diperuntukkan bagi memperkenalkan Inisiatif Bantuan Negeri Pahang Gig, iaitu sumbangan one-off sebanyak RM300,000 kepada pekerja gig yang berdaftar dan mempunyai caruman aktif di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan pelbagai inisiatif berkenaan bertujuan memastikan manfaat pembangunan dan kemakmuran negeri dapat dinikmati oleh masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Peruntukan itu turut memberi penekanan kepada pengiktirafan sumbangan petugas barisan sokongan, anggota keselamatan serta pertubuhan yang terlibat dalam aktiviti kebajikan dan pembangunan sosial.
Secara keseluruhan, RM21.53 juta berkenaan merangkumi RM15.18 juta bagi program pengiktirafan, kebajikan dan pemerkasaan sosial, RM5.25 juta untuk penghargaan petugas serta rakan strategik dan RM1.1 juta bagi Inisiatif Bantuan Negeri Pahang Gig. -PAHANGMEDIA

