Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM40.98 juta menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 bagi memperluas akses perkhidmatan kesihatan serta memperkukuh kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan berkenaan merangkumi pelbagai inisiatif bantuan kesihatan, pembiayaan rawatan, sokongan kepada petugas perubatan serta program kebajikan untuk golongan yang memerlukan.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, sebanyak RM18 juta disediakan bagi meneruskan Program Kad Kesihatan Kasih Makmur yang memberi manfaat kepada warga emas, OKU, pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pesara polis dan pemimpin masyarakat serta penerima menerusi program rasmi seperti Sentuhan Rakyat Makmur Pahang.
“Daripada jumlah tersebut, RM18 juta disediakan bagi meneruskan Program Kad Kesihatan Kasih Makmur untuk warga emas, OKU, pesara ATM, pesara polis, pemimpin masyarakat dan melalui program rasmi seperti Sentuhan Rakyat Makmur Pahang.
“Selain itu, RM10 juta disediakan bagi Tabung Pesakit Kronik Pahang 1st untuk membantu kos rawatan dan pengurusan penjagaan pesakit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Negeri turut menyediakan RM3 juta bagi pemberian baucar khas bernilai RM100 kepada setiap penerima di bawah Kumpulan Sokongan Perubatan Pahang 1st sebagai penghargaan terhadap peranan mereka dalam perkhidmatan kesihatan.
Selain itu, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi subsidi pembedahan katarak untuk mendapatkan kanta premium berkualiti, termasuk kuota khas lima peratus bagi kes tertentu seperti pesakit OKU dan kanak-kanak.
“RM3 juta bagi pemberian baucar khas 100 ringgit setiap penerima kepada Kumpulan Sokongan Perubatan Pahang 1st sebagai tanda penghargaan jasa mereka; RM1.5 juta bagi subsidi pembedahan katarak mata untuk mendapatkan kanta premium berkualiti, termasuk kuota khas lima peratus bagi kes tertentu seperti pesakit OKU dan kanak-kanak.
“Dan RM400,000 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang bagi pelbagai program termasuk advokasi kesihatan mental dan kesejahteraan emosi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak RM7.03 juta turut diperuntukkan bagi memperkukuh kebajikan golongan OKU dan individu berkeperluan khas menerusi pelbagai program bantuan serta sokongan komuniti.
Antara inisiatif berkenaan ialah pemberian insentif RM350 kepada setiap peserta Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dengan peruntukan RM525,000, manakala RM155,000 disediakan bagi insentif RM500 kepada setiap penyelia dan petugas PPDK.
“RM1 juta bagi Program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) Negeri Pahang; dan bantuan one-off RM10,000 kepada setiap pusat jagaan, kebajikan, PPDK dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) berdaftar di bawah Pertubuhan Sukarela Kebajikan dengan peruntukan RM450,000,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menyediakan RM2 juta bagi Program Anak-Anak Masalah Pembelajaran yang memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak berkeperluan khas.
“Sebanyak RM2 juta lagi disediakan bagi Program Cermin Mata Pahang 1st untuk Pelajar Sekolah Rendah.
“Selain itu, sumbangan RM300,000 diberikan kepada setiap anak yatim di pusat jagaan berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat serta sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang dengan peruntukan sebanyak RM1.95 juta,” katanya.
Keseluruhan inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan beban kos rawatan, meningkatkan akses kepada bantuan kesihatan serta memperkukuh jaringan sokongan kebajikan kepada golongan yang memerlukan di seluruh negeri. -PAHANGMEDIA

