Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM11.45 juta menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 bagi pembinaan 350 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 7 serta pelaksanaan subsidi deposit sewa rumah untuk membantu golongan yang memerlukan kediaman selesa.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM8.75 juta disediakan bagi pembinaan 350 unit RRP Fasa 7, manakala RM700,000 lagi diperuntukkan untuk pembelian barangan keperluan asas bagi melengkapkan kediaman tersebut.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan perumahan kepada golongan yang memerlukan, selain membantu meringankan beban kewangan berkaitan keperluan tempat tinggal.
“Bagi membantu golongan yang memerlukan kediaman selesa, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM11.45 juta bagi pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RRP) dan Program Subsidi Deposit Sewa Rumah Pahang 1st.
“Daripada jumlah ini, RM8.75 juta disediakan bagi pembinaan 350 buah RRP Fasa 7, manakala RM700,000 lagi bagi pembelian barangan keperluan asas untuk melengkapi kediaman tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi Program Subsidi Deposit Sewa Rumah Pahang 1st untuk membantu ketua isi rumah anak Pahang yang memerlukan kediaman sewa.
Menurut beliau, kemudahan itu turut dibuka kepada anak Pahang yang berada di perantauan dan berhasrat menyewa kediaman, tertakluk kepada syarat serta kelayakan yang ditetapkan.
“Selain itu, RM2 juta diperuntukkan bagi Program Subsidi Deposit Sewa Rumah Pahang 1st untuk membantu ketua isi rumah anak Pahang yang memerlukan kediaman sewa.
“Permohonan turut dibuka kepada anak Pahang di perantauan yang ingin menyewa kediaman, tertakluk kepada syarat dan kelayakan yang ditetapkan,” katanya.
Pelaksanaan kedua-dua inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada penyediaan kediaman yang lebih selesa serta bantuan bagi mengurangkan beban kos perumahan, khususnya kepada rakyat yang memerlukan sokongan untuk memiliki atau menyewa tempat tinggal.
Secara keseluruhan, peruntukan RM11.45 juta itu merangkumi RM9.45 juta bagi pembinaan dan kelengkapan RRP Fasa 7 serta RM2 juta bagi subsidi deposit sewa rumah. -PAHANGMEDIA

