Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM18.9 juta menerusi Inisiatif Bantuan Negeri Pahang bagi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli, dengan tumpuan utama kepada penyediaan perumahan, kemudahan asas, pendidikan serta pembangunan sosioekonomi.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM10.29 juta diperuntukkan bagi pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RRP) Kuota Orang Asli Fasa 8 untuk menyediakan kediaman yang lebih selesa kepada golongan berkenaan.
Menurut beliau, peruntukan itu turut merangkumi pelbagai program pembangunan komuniti bagi memastikan masyarakat Orang Asli terus mendapat perhatian dalam perancangan pembangunan negeri.
“RM10.29 juta bagi pembinaan Rumah Rakyat Pahang Kuota Orang Asli Fasa 8; RM3 juta bagi Program Sukan Rakyat Orang Asli Pahang 1st; RM3 juta bagi Program Pemerkasaan Orang Asli Pahang 1st.
“RM1.5 juta bagi program baik pulih rumah; RM500,000 bagi penyediaan bekalan air; RM300,000 bagi Program Education Demi Orang Asli (E-DOA); dan RM400,000 bagi Sambutan Hari Orang Asli Sedunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata masyarakat Orang Asli merupakan sebahagian daripada kepelbagaian dan warisan penting negeri Pahang yang perlu terus diberikan perhatian, khususnya dalam aspek pembangunan dan kesejahteraan hidup.
“Oleh itu, usaha meningkatkan taraf kehidupan mereka akan terus diberi perhatian, khususnya dalam aspek perumahan, pendidikan, kemudahan asas, ekonomi dan pembangunan sosial,” katanya.
Selain pembinaan rumah baharu, peruntukan RM1.5 juta bagi program baik pulih rumah dan RM500,000 untuk penyediaan bekalan air turut memberi tumpuan kepada usaha menambah baik kemudahan asas masyarakat Orang Asli.
Dalam aspek pembangunan komuniti pula, sebanyak RM3 juta masing-masing disediakan bagi Program Sukan Rakyat Orang Asli Pahang 1st dan Program Pemerkasaan Orang Asli Pahang 1st.
Sementara itu, RM300,000 diperuntukkan bagi Program Education Demi Orang Asli (E-DOA) dan RM400,000 untuk Sambutan Hari Orang Asli Sedunia sebagai sebahagian daripada inisiatif pendidikan dan pembangunan sosial masyarakat berkenaan.
Keseluruhan inisiatif itu dirangka bagi memperluas akses masyarakat Orang Asli kepada kemudahan asas, peluang pendidikan dan program pembangunan komuniti selaras dengan usaha meningkatkan kesejahteraan hidup mereka. -PAHANGMEDIA

