Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kira-kira 38,000 pengguna berpendapatan rendah di Pahang bakal terus menikmati kemudahan air percuma menerusi Program Air Percuma Pahang 1st dengan peruntukan sebanyak RM7.3 juta setahun yang diumumkan dalam Belanjawan Negeri Pahang 2027.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program yang sebelum ini dikenali sebagai Program Rebat Air Makmur itu dijenamakan semula sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan memberi manfaat kepada pengguna yang berdaftar di bawah pangkalan data eKasih, i-Damak, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Rumah Rakyat Pahang (RRP).
“Program Rebat Air Makmur dijenamakan semula sebagai Program Air Percuma Pahang 1st dengan peruntukan tahunan sebanyak 7.3 juta ringgit.
“Memberi manfaat kepada 38,000 pengguna berpendapatan rendah yang berdaftar di bawah eKasih, i-Damak, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Rumah Rakyat Pahang (RRP),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Pelaksanaan program berkenaan merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri bagi mengurangkan komitmen perbelanjaan isi rumah, khususnya melibatkan keperluan asas seperti bekalan air.
Penjenamaan semula Program Rebat Air Makmur kepada Program Air Percuma Pahang 1st turut memperlihatkan kesinambungan bantuan kepada golongan sasar bagi memastikan kebajikan mereka terus diberikan perhatian.
Dengan peruntukan tahunan RM7.3 juta itu, Kerajaan Negeri menyasarkan kira-kira 38,000 pengguna berpendapatan rendah terus menerima manfaat program berkenaan sepanjang tahun 2027. -PAHANGMEDIA

