Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Sebanyak 181 inisiatif digariskan menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 dengan 158 daripadanya memberi tumpuan kepada bantuan dan kebajikan rakyat di bawah Inisiatif Bantuan Negeri Pahang (iBN Pahang), manakala 23 lagi melibatkan pembangunan negeri.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keseluruhan inisiatif berkenaan dirangka bagi memastikan hasil negeri dapat dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai bentuk bantuan, pembangunan ekonomi serta program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurut beliau, Belanjawan Negeri Pahang 2027 yang bertemakan “Pahang 1st: Kerajaan Prihatin, Rakyat Diutamakan” disediakan secara berhemah dan teliti dengan mengambil kira kemampuan kewangan negeri serta keperluan rakyat.
“Semua yang kita rangka ke dalam belanjawan ini adalah untuk memastikan ia dapat dikembalikan kepada pembangunan ekonomi serta memastikan kemakmuran Pahang dapat dinikmati secara inklusif oleh rakyat negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Bagi tahun 2027, Kerajaan Negeri menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM1.507 bilion dengan perbelanjaan mengurus berjumlah RM1.502 bilion, sekali gus mengunjurkan lebihan belanjawan sebanyak RM5 juta.
Selain itu, sebanyak RM454.4 juta turut diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan untuk membiayai pelbagai projek dan program yang dirancang bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Belanjawan berkenaan turut memberi penekanan kepada enam teras utama merangkumi pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta modal insan; pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan keusahawanan; tadbir urus dan kecekapan penyampaian perkhidmatan; infrastruktur dan kemudahan asas; kelestarian alam sekitar serta pengurusan sumber negeri; dan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut menyediakan Bantuan Khas Kewangan bersamaan dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri, selain bantuan sempena perayaan sebanyak RM1,500.
“Kerajaan ini sangat prihatin kepada rakyat yang memerlukan bantuan. Seperti mana yang sering kita perkatakan bahawa selepas kita tolak kos tetap, bakinya kita akan kembali kepada rakyat dalam pelbagai bentuk,” katanya.
Mengulas mengenai pembangunan wilayah, beliau berkata Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada kawasan Pahang Barat, khususnya Bentong dan Kuala Lipis, bagi merapatkan jurang pembangunan antara Pahang Barat, Tengah dan Timur.
Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan ekonomi dan kemudahan asas dapat dilaksanakan secara lebih seimbang di seluruh negeri.
Bagi memperkukuh sektor perikanan pula, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta bagi pembangunan kemudahan penyimpanan sejuk (cold storage) supaya hasil pendaratan ikan di Pahang dapat disimpan dan dipasarkan dalam negeri tanpa perlu dihantar ke luar.
Beliau berkata, sektor agromakanan turut menjadi antara keutamaan dengan tumpuan kepada penternakan lembu Wagyu, kerbau tenusu, pengeluaran telur dan daging serta pembangunan industri durian bagi meningkatkan pengeluaran tempatan dan membuka peluang ekonomi baharu.
“Kita nak jadi Pahang 1st. Macam sekarang sayur kita dah jadi pengeksport yang pertama. Kemudian ke depan ini insya-Allah lembu, kerbau tenusu, telur dan daging. Kita nak bila orang tanya daging mana, Pahang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Negeri sedang mempercepatkan usaha pengembangan operasi pengeluaran telur di Raub yang ketika ini menghasilkan kira-kira 650,000 biji sehari.
Katanya, Kuala Medang dan Lanchang turut dikenal pasti sebagai lokasi baharu bagi memperluas pengeluaran telur di negeri ini.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan inisiatif khusus kepada golongan muda termasuk pinjaman motosikal tanpa faedah serta subsidi pengurangan pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.
Keseluruhan inisiatif yang dirangka menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 itu memberi tumpuan kepada usaha mengimbangi pembangunan ekonomi dengan keperluan kebajikan rakyat supaya manfaat pertumbuhan negeri dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat. -PAHANGMEDIA

