Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM22.25 juta menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2027 bagi memperkasakan golongan wanita melalui pelbagai inisiatif perlindungan sosial, bantuan perundangan, penjagaan kesihatan serta pembangunan ekonomi dan kesejahteraan keluarga.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara inisiatif baharu yang diperkenalkan ialah Lindung Kasih Makmur dengan peruntukan RM750,000 menerusi kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Pahang.
Menurut beliau, inisiatif itu menyediakan insentif secara sekali beri (one-off) sebanyak RM120 kepada setiap wanita yang berdaftar bagi membantu menampung caruman tahunan di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (LINDUNG KASIH).
“Bagi memperkukuh perlindungan sosial wanita, RM750,000 diperuntukkan bagi memperkenalkan Inisiatif Lindung Kasih Makmur dengan kerjasama PERKESO Negeri Pahang.
“Menerusi inisiatif ini, setiap wanita berdaftar akan menerima insentif one-off sebanyak RM120 bagi menanggung komitmen caruman tahunan di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (LINDUNG KASIH) PERKESO.
“Selain itu, RM1.5 juta disediakan melalui Tabung Wanita Pahang 1st dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Pahang bagi membantu wanita yang menghadapi masalah perundangan, khususnya tuntutan nafkah, kes syariah dan keganasan rumah tangga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Negeri turut menyediakan RM20 juta bagi pelaksanaan pelbagai program pembangunan dan kesejahteraan wanita serta institusi keluarga di seluruh Pahang.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM11 juta diperuntukkan bagi program saringan kesihatan yang menyasarkan belia wanita, wanita bekerja, suri rumah, ibu tunggal dan balu.
“RM11 juta bagi saringan kesihatan untuk belia wanita, wanita bekerja, suri rumah, ibu tunggal dan balu; RM1 juta bagi Program Anggun Maju untuk usahawan wanita; RM1 juta bagi Program Anggun Suri untuk perkahwinan beramai-ramai.
“RM1 juta bagi Program Anggun Fit Pahang 1st untuk program kecergasan; RM1 juta bagi program penilaian dan tindakan mengenai Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang Lima Tahun,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak RM5 juta turut diperuntukkan bagi meneruskan Program Permata Makmur sebagai sokongan kepada keluarga yang menyambut kelahiran cahaya mata baharu.
Menurut beliau, setiap kelahiran baharu akan menerima insentif RM300 merangkumi RM100 bantuan tunai dan RM200 dalam bentuk simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
“RM5 juta diperuntukkan bagi meneruskan pelaksanaan Program Permata Makmur sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kesejahteraan institusi keluarga di Pahang.
“Setiap kelahiran baharu akan menerima insentif berjumlah RM300, iaitu RM100 bantuan tunai serta RM200 dalam bentuk akaun simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai pelaburan jangka panjang pendidikan generasi pewaris negeri,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberikan tumpuan kepada usaha memperluas peluang dan sokongan kepada golongan wanita supaya mereka dapat mengembangkan potensi serta memainkan peranan dalam bidang kepimpinan, ekonomi dan pembangunan masyarakat.
Pelaksanaan inisiatif berkenaan turut memberi penekanan kepada pengukuhan institusi keluarga melalui bantuan kewangan, perlindungan sosial dan program pembangunan yang menyasarkan keperluan wanita di pelbagai peringkat kehidupan. -PAHANGMEDIA

