Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh usaha menangani isu kesihatan mental dalam kalangan murid menerusi pelaksanaan saringan kesejahteraan secara berjadual sebanyak empat kali setahun bagi memastikan mereka yang berdepan tekanan emosi dapat dikenal pasti dan diberikan intervensi sewajarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak berkata, sehingga 26 Oktober lalu, sebanyak tiga kitaran saringan kesejahteraan mental murid telah dilaksanakan di seluruh negeri menerusi pemantauan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang.
Menurut beliau, pemantauan yang dilaksanakan melalui Sektor Pembangunan Murid, Unit Hal Ehwal Murid itu menggunakan pendekatan berasaskan data bagi memastikan murid yang memerlukan bantuan dapat diberikan perhatian sewajarnya.
“Kesejahteraan mental murid bukan lagi isu pinggiran, sebaliknya merupakan aspek penting dalam pembangunan modal insan yang perlu diberikan perhatian serius.
“Pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Negeri melalui JPN Pahang adalah selaras sepenuhnya dengan agenda Sekolah Selamat, Minda Sihat, Insan Sejahtera di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 oleh Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, YB Tuan Chan Chun Kuang pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut memperkukuh sokongan terhadap kesejahteraan murid menerusi kerjasama sektor pendidikan dan kesihatan, selain meningkatkan hubungan antara pihak sekolah dengan ibu bapa.
Katanya, sebanyak RM75 juta diperuntukkan kepada Yayasan Pahang bagi sekolah, institusi pengajian dan pembangunan komuniti, termasuk RM24 juta untuk pemberian biasiswa kepada 50,000 murid sekolah rendah dan menengah.
“Pahang juga merupakan negeri pertama melaksanakan aplikasi StudentQR secara menyeluruh di semua sekolah bagi menghubungkan guru dan ibu bapa dalam merekod serta menghargai amalan baik murid di rumah dan sekolah.
“Melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pahang pula, seramai 26 pegawai psikologi kaunseling ditempatkan di klinik kesihatan di semua daerah, manakala perkhidmatan pakar psikiatri lawatan disediakan di 12 hospital,” katanya.
Tambah beliau, usaha meningkatkan kesedaran dan pengesanan awal masalah kesihatan mental turut dilaksanakan menerusi saringan MyMinda serta kempen Let’s Talk Minda Sihat yang diperluas hingga ke sekolah.
Menurutnya, JPN Pahang akan terus memperkukuh pemantauan berasaskan data dengan memberi tumpuan kepada murid paling rentan, selain memperluas pelaksanaan Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA).
“Bagi memastikan usaha ini memberi kesan sebenar, JPN Pahang akan memperkukuh pemantauan berasaskan data, memberi fokus kepada murid paling rentan, memperluas PRISMA serta memperkasa keupayaan guru dan kaunselor melalui latihan berterusan bersama Jabatan Kesihatan Negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

