Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Pahang bakal menjadi antara lokasi pembangunan projek solar terapung terbesar di Asia Tenggara menerusi pelaksanaan projek bernilai RM850 juta di Empangan Chereh, Sungai Lembing yang kini dalam peringkat perancangan selepas perjanjian pembangunannya dimeterai.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berskala besar itu akan dibangunkan dengan kerjasama rakan kongsi antarabangsa sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri memperluas pembangunan tenaga boleh baharu.
Menurut beliau, pemeteraian perjanjian projek berkenaan telah disempurnakan sebelum ini dalam satu majlis yang turut disaksikan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
“Alhamdulillah, semuanya telah berjalan lancar dan perjanjian telah ditandatangani. Projek ini boleh dimulakan pada bila-bila masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pembangunan solar terapung di Empangan Chereh itu merupakan antara inisiatif strategik Kerajaan Negeri dalam meneroka potensi penjanaan tenaga bersih melalui penggunaan kawasan empangan.
Katanya, projek berkenaan bukan sahaja berpotensi memperkukuh sektor penjanaan tenaga elektrik, malah membuka ruang kepada pembangunan teknologi tenaga boleh baharu secara lebih meluas di Pahang.
Beliau berkata, perancangan pembangunan projek itu kini sedang berjalan susulan pemeteraian perjanjian bersama rakan kongsi luar negara.
Pelaksanaan projek berkenaan turut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam meneroka sumber tenaga alternatif yang berpotensi menyokong keperluan tenaga pada masa hadapan.
Kerajaan Negeri juga akan terus memberi perhatian terhadap peluang pembangunan sektor tenaga boleh baharu yang mampu memberikan manfaat kepada negeri dan rakyat. -PAHANGMEDIA

