Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Ezzatul Syafiqa
KUANTAN, 19 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang bersedia menawarkan pakej gaji kompetitif sehingga belasan ribu ringgit bagi menarik jurulatih sukan berkaliber dari seluruh negara dalam usaha memperkukuh prestasi atlet dan mengembalikan kegemilangan sukan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada transformasi pembangunan sukan negeri yang akan dilaksanakan bermula Januari 2027.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut meluluskan pelarasan gaji antara RM200 hingga RM1,200 kepada jurulatih sepenuh masa dengan kadar gaji minimum baharu ditetapkan sebanyak RM2,200.
Katanya, penetapan pakej gaji berkenaan mengambil kira kelayakan, sijil kemahiran, pengalaman dan pencapaian seseorang jurulatih, selain Kerajaan Negeri bersedia mengadakan rundingan bagi menawarkan ganjaran bersesuaian dengan kepakaran mereka.
“Saya ingin mempelawa jurulatih di luar sana yang berkelayakan dan berkemahiran untuk melihat pakej gaji di Pahang. Kita sedia berbincang berdasarkan pengalaman dan pencapaian mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Pahang Tahun 2026 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Menurut beliau, seramai 43 jurulatih sepenuh masa yang diluluskan penyambungan kontrak akan menikmati pelarasan gaji berkenaan bermula Januari depan.
Dalam masa sama, Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti keperluan mendapatkan jurulatih tambahan khususnya bagi acara olahraga, silat dan angkat berat.
Katanya, kekosongan jurulatih turut dikenal pasti dalam beberapa acara lain termasuk berbasikal, gimnastik, akuatik, renang dan skuasy.
Beliau berkata, keutamaan akan diberikan kepada anak jati Pahang, namun peluang turut dibuka kepada jurulatih dari luar negeri yang mempunyai kelayakan dan kepakaran bersesuaian.
Sementara itu, majlis berkenaan turut menyaksikan seramai 326 atlet menerima insentif keseluruhan berjumlah RM809,050 sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan mereka dalam bidang sukan dan akademik, termasuk pencapaian pada temasya SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026.
Antara penerima yang mencuri perhatian ialah atlet menembak Pahang, Cheah Zen Hong yang meraih sembilan pingat emas dan satu perak selain mencipta tiga rekod SUKMA pada temasya berkenaan.
Kecemerlangan itu melayakkan beliau dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik SUKMA 2026 serta menerima insentif sebanyak RM46,000.
Kejayaan tersebut sekali gus menamatkan penantian selama 20 tahun Pahang untuk kembali meraih anugerah berkenaan selepas kali terakhir memenanginya pada SUKMA 2006.
Cheah Zen Hong menyifatkan pengiktirafan itu sebagai penghargaan amat bermakna terhadap usaha dan sumbangannya dalam mengharumkan nama negeri.
“Saya rasa dihargai apabila pencapaian yang disumbangkan kepada Pahang mendapat pengiktirafan kerajaan negeri. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, Dato’ Sri Diraja (Menteri Besar Pahang) dan juga Dato’ (Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang) atas insentif yang diberikan,” katanya.
Beliau turut memasang impian untuk melakar kejayaan lebih besar di peringkat antarabangsa selain yakin pasukan menembak Pahang mampu terus melahirkan atlet berprestasi tinggi.
Dalam pada itu, beliau berpesan kepada atlet muda supaya sentiasa mengekalkan semangat juang, memiliki mentaliti juara dan tidak mudah berputus asa dalam usaha meneruskan kecemerlangan sukan negeri. -PAHANGMEDIA

