Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 20 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang mengenal pasti lapan tasik utama yang berpotensi diteroka bagi pembangunan teknologi solar terapung pada masa hadapan sebagai usaha memperluas penggunaan tenaga boleh baharu di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, potensi berkenaan akan dinilai berdasarkan hasil kajian projek perintis solar terapung pesisir laut berkapasiti 780 kilowatt (kW) yang dicadangkan di Pulau Tioman.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri terbuka untuk mempertimbangkan peluasan teknologi itu ke lokasi lain sekiranya terbukti berdaya maju serta mampu memberikan manfaat kepada negeri dan rakyat.
“Penilaian akan mengambil kira beberapa aspek termasuk kapasiti penjanaan, daya maju ekonomi, keupayaan infrastruktur serta kesan terhadap ekosistem marin dan biodiversiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB Dato’ Sri Dr. Haji Mohd Johari Hussain pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Mengulas mengenai cadangan projek solar terapung di Pulau Tioman, beliau berkata Kerajaan Negeri pada prinsipnya menyokong pelaksanaan projek perintis kendalian TNB Research itu bagi mengkaji kebolehlaksanaan teknologi berkenaan dalam persekitaran marin.
Katanya, projek tersebut berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada penjanaan diesel dalam jangka panjang, selain menjadi nilai tambah kepada sektor pelancongan selaras dengan aspirasi menjadikan Pulau Tioman sebagai pulau tenaga hijau.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa projek berkenaan bukan bertujuan menggantikan sistem penjanaan diesel sedia ada, sebaliknya berfungsi sebagai sumber tenaga tambahan bagi meningkatkan kemampanan dan daya tahan bekalan elektrik kepada penduduk serta pengusaha industri pelancongan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan projek tersebut perlu mematuhi semua keperluan perundangan dan teknikal memandangkan lokasi cadangan terletak dalam kawasan Taman Laut yang tertakluk kepada Akta Perikanan 1985 (Akta 317).
Antara syarat yang perlu dipenuhi termasuk mendapatkan kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perikanan Malaysia bagi pembinaan struktur dalam kawasan Taman Laut.
Menurut beliau, aspek pemeliharaan alam sekitar turut menjadi keutamaan bagi memastikan pemasangan solar terapung tidak menjejaskan keindahan pesisir pantai, terumbu karang, hidupan marin serta keselamatan pelancong.
“Kita tidak mahu merosakkan ekosistem yang ada semata-mata untuk melaksanakan projek ini. Pulau Tioman mempunyai keindahan alam semula jadi yang perlu kita pelihara.
“Sekiranya semua keperluan perundangan dan teknikal dipenuhi serta tidak menjejaskan ekosistem, Kerajaan Negeri terbuka untuk mempertimbangkan pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata, hasil kajian projek perintis di Pulau Tioman akan menjadi antara asas pertimbangan bagi menentukan kesesuaian peluasan teknologi solar terapung ke lokasi lain di seluruh Pahang. -PAHANGMEDIA

