Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 08 NOVEMBER 2026 : Lebih 16,000 peminat bola sepak membanjiri Stadium Darul Makmur di sini bagi menyaksikan pertembungan legenda antara Pilihan Pahang dan Kelantan (Ex-Treble) dalam aksi Keramat Lagenda (Piala PUC 2026), malam tadi.
Lebih manis, pasukan pilihan Pahang berjaya menewaskan Kelantan dengan keputusan 2-1 dalam aksi yang berlangsung sengit menerusi persembahan menarik serta serangan balas daripada kedua-dua pasukan.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, kehadiran lebih 16,000 penonton membuktikan sambutan terhadap bola sepak di negeri ini masih cukup tinggi.

“Alhamdulillah, lebih 16,000 peminat bola sepak Pahang membanjiri Stadium Darul Makmur ini untuk menyaksikan perlawanan legenda pemain Pahang dan juga pemain Kelantan.
“Kita tengok aksi yang cukup menghiburkan, cukup menarik, berbalas serangan dan akhirnya kedudukan memihak kepada Pahang, 2-1. Walaupun bekas pemain, tetapi kualiti dan mutu permainan cukup baik,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Tambahnya, penganjuran perlawanan itu turut mengembalikan suasana dan semangat bola sepak yang sudah lama dinantikan penyokong, selain merakamkan penghargaan kepada pihak penaja serta bekas pemain Pahang yang menjayakan program berkenaan.

“Saya ucap syabas, tahniah kepada pihak penaja kita yang sudi bekerjasama dengan kita untuk menaja perlawanan ini, dan juga bekas-bekas pemain Pahang.
“Dan kita tengok satu ‘vibe’ yang dah lama kita tunggu-tunggu, dah lama kita tak rasai. Jadi saya ucap terima kasih kepada semua pihak atas penganjuran program ini, khususnya kepada pihak penajalah, ya, yang sebenarnya menyumbang barangkali kebangkitan bola sepak di bumi Pahang ini,” katanya lagi.
Katanya lagi, lebih banyak kejohanan bola sepak perlu dianjurkan di Stadium Darul Makmur bagi memanfaatkan kemudahan padang yang mempunyai kualiti rumput semula jadi terbaik, selain mendapat pengiktirafan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ujarnya, stadium berkenaan juga sedia mengadakan rundingan harga dengan mana-mana pihak yang berminat menggunakan padang rumput Bermuda TifGrand yang disifatkannya sebagai satu-satunya di Malaysia dan Asia selepas Jepun.
Beliau turut memaklumkan kejohanan bola sepak peringkat negeri Pahang bagi kategori bawah 12, 10 dan lapan tahun dijadualkan berlangsung pada bulan depan dengan penyertaan kira-kira 80 pasukan.
“Kita akan iklankan dalam masa terdekat ini. Saya difahamkan 80 pasukan akan berentap dalam aksi di sini nanti, sekitar bulan 12 ini, insyaAllah,” ujarnya.
Sementara itu, Perlawanan Keramat Lagenda itu dianjurkan dengan tajaan PUC Sport menawarkan hadiah kemenangan berjumlah RM20,000 serta piala pusingan, selain menjadi aksi timbal balik selepas Kelantan mencatat kemenangan 2-1 pada pertemuan pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pada 3 Mei 2025. -PAHANGMEIDA

