Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Adzhar
PEKAN, 07 NOVEMBER 2026 : Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang bukan sahaja meringankan beban golongan memerlukan, malah membuka peluang kepada penerima mengembangkan sumber pendapatan dan meneruskan kelangsungan hidup.
Bagi peniaga pasar segar, Puan Wan Roslina Wan Bakar, 52, bantuan diterima bakal dimanfaatkan untuk membeli peralatan bagi membuka cawangan baharu perniagaannya di Taman Baru PPSK.
Dia yang sudah lebih 30 tahun mengusahakan perniagaan itu berkata, sumbangan berkenaan amat bermakna kerana merupakan bantuan pertama diterimanya daripada kerajaan negeri.

“Terima kasih banyak-banyak kepada YAB Menteri Besar Pahang. Saya memang tidak sangka terpilih menerima sumbangan ini dan amat bersyukur kerana bantuan ini dapat digunakan untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Encik Aminuddin Uyub, 55, berkata, sumbangan diterimanya akan digunakan bagi menampung kos rawatan kecederaan tulang belakang yang dialaminya selepas terjatuh dari sebuah tangki air ketika bekerja sebagai pekerja kontrak FELCRA pada penghujung Februari lalu.
Menurutnya, walaupun kini hanya mampu melakukan kerja-kerja ringan, beliau masih memerlukan rawatan susulan bagi memulihkan keadaannya.

Katanya, bantuan tersebut dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung, khususnya bagi membiayai kos rawatan dan pengangkutan untuk mendapatkan rawatan.
“Saya amat bersyukur kerana dengan adanya bantuan ini, sedikit sebanyak dapat membantu menampung perbelanjaan rawatan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail atas keprihatinan serta bantuan yang diberikan,” katanya.
Kedua-dua penerima itu merupakan antara 98 penerima sumbangan Kerajaan Negeri Pahang berjumlah hampir RM400,000 yang disampaikan sempena Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bebar, di sini. -PAHANGMEDIA

