Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Adzhar
PEKAN, 07 NOVEMBER 2026 : Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Pahang yang stabil membolehkan hampir RM400,000 disalurkan kepada 98 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan.
Sumbangan tersebut meliputi pelbagai bentuk bantuan termasuk membaik pulih rumah, bantuan kepada pesakit, pendidikan, kesihatan serta pembiayaan kos rawatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, penyaluran bantuan itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.

Katanya, keupayaan Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan bergantung kepada kedudukan kewangan yang kukuh serta sumber pendapatan yang stabil.
“Ini membuktikan bahawa segala bantuan yang dilaksanakan tidak akan dapat direalisasikan sekiranya Kerajaan Negeri tidak mempunyai kedudukan kewangan yang stabil dan sumber pendapatan yang kukuh,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri bagi DUN Bebar di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bebar, di sini hari ini.
Tambahnya, selain bantuan kewangan, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada penyediaan kediaman mampu milik dan percuma menerusi program Rumah Rakyat Pahang serta Rumah Ru’RASA yang diperkenalkan di bawah inisiatif Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Menurutnya, usaha berterusan itu bertujuan memastikan rakyat daripada pelbagai lapisan pendapatan mendapat pembelaan sewajarnya, sekali gus menikmati kehidupan yang lebih harmoni dan sejahtera.
“Dan selain daripada itu, dalam ucapan saya tadi, saya turut menyentuh tentang pencapaian ekonomi dalam Negeri Pahang yang turut membolehkan Kerajaan Negeri menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak Pahang apabila semua projek-projek pelaburan di dalam Negeri Pahang ini dapat direalisasikan pada masa akan datang,” ujarnya.
Jelasnya, Kerajaan Negeri komited memastikan setiap amanah, mandat dan manifesto yang dijanjikan dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat serta pembangunan negeri secara berterusan. -PAHANGMEDIA

