Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 5 NOVEMBER 2026 : Gabungan Emergency Mutual Aid (GEMA) menyasarkan peningkatan keahlian kepada 50 syarikat pada 2027 berbanding 25 syarikat ketika ini bagi memperkukuh jaringan kerjasama dan tahap keselamatan kawasan perindustrian Gebeng.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang merangkap Pengerusi GEMA, Dato’ Mohd Razam Taja Rahim berkata, sasaran itu merupakan usaha memperluas penyertaan syarikat industri dalam gabungan berkenaan, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi insiden kecemasan khususnya kebakaran dan bencana industri.
“Setakat ini, kita mempunyai 25 ahli termasuk Pelabuhan Kuantan, sedangkan terdapat kira-kira 80 syarikat beroperasi di kawasan ini.
“Jadi, saya menyasarkan pertambahan 25 lagi syarikat menjadikan keseluruhan 50 ahli pada tahun hadapan.
“Saya juga sudah berbincang dengan YB Dato’ Sabariah dan Dato’ Mohamad Nizar bagi mendapatkan bantuan untuk mempromosikan GEMA kepada syarikat industri yang masih belum menyertai gabungan ini.
“Kita mahu bersama-sama menjaga keselamatan kawasan Gebeng dan masyarakat sekitarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Hari Terbuka Gebeng Emergency Mutual Aid (GEMA) dan majlis perasmian Pusat Penyelarasan GEMA (GCC) di Petronas Emergency Response Center (PECC), Gebeng, di sini.
Menurutnya, penyertaan lebih banyak syarikat amat penting memandangkan Gebeng merupakan kawasan perindustrian yang menempatkan pelbagai industri kimia dan produk berkaitan, sekali gus memerlukan tahap kesiapsiagaan keselamatan yang tinggi.
Katanya, peranan GEMA bukan sahaja tertumpu kepada aspek keselamatan syarikat ahli, malah turut merangkumi tanggungjawab membantu masyarakat setempat termasuk penduduk kampung berhampiran sekiranya berlaku kecemasan.
Tambah beliau, GEMA turut merancang memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan serta mengadakan program libat urus bersama pihak berkuasa tempatan dan komuniti bagi menyelaras isu keselamatan, pencemaran serta aduan penduduk. -PAHANGMEDIA

