Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUALA LUMPUR, 3 NOVEMBER 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan YAB Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak serta barisan ketua jabatan.
Dalam titahnya, Paduka Baginda menzahirkan keterujaan terhadap kerjasama strategik berkenaan yang disifatkan sebagai satu pencapaian penting buat Negeri Pahang, selain berharap gabungan kekuatan kedua-dua negeri mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat.
“Saya begitu teruja dengan acara hari ini, satu ‘milestone’ yang agak besar bagi Negeri Pahang. Usahasama ini saya ibaratkan satu kerjasama di antara negeri yang terbesar dan negeri yang terkaya.
“Saya harap kombinasi di antara kedua-dua negeri ini akan dapat menghasilkan segala perancangan yang dinyatakan tadi, supaya memberi satu kesejahteraan kepada rakyat Pahang dan rakyat Selangor, insya-Allah,” titah Paduka Baginda.

Kerjasama strategik antara Selangor dan Pahang itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh sektor pertanian dan agromakanan, selain meningkatkan keterjaminan makanan negara menerusi perkongsian kepakaran, sumber serta potensi yang dimiliki kedua-dua negeri.
Kerjasama itu menggabungkan kelebihan Selangor sebagai hab ekonomi, logistik dan pasaran utama di Lembah Klang, disokong kepakaran teknologi PKPS, manakala Pahang pula mempunyai potensi tanah pertanian yang luas dan subur, kesesuaian agroklimat serta keupayaan PKPP dalam pengurusan komuniti.
Sebanyak empat inisiatif utama menjadi fokus kerjasama berkenaan iaitu pembangunan padi moden menerusi Jelapang Padi Darul Makmur, pembangunan hab jagung bijian, pelaksanaan Pertanian Komuniti Fertigasi Shahzan Makmur serta pemerkasaan agropelancongan dan agroedukasi.
Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek, kedua-dua pihak turut menubuhkan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Kerja Bersama bagi menyelaras serta memantau pelan tindakan setiap inisiatif secara menyeluruh sehingga perjanjian muktamad dimeterai. -PAHANGMEDIA

