Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PEKAN, 2 NOVEMBER 2026 : Wakaf Pahang merekodkan sebanyak 575 unit hartanah wakaf dengan anggaran nilai RM73.3 juta, manakala jumlah pewakaf meningkat kepada 11,796 orang termasuk 4,601 pewakaf baharu sepanjang tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang, Dr. Haji Mohd Azmi Haji Othman berkata, sebanyak 17 projek wakaf bernilai RM8.7 juta turut berjaya disempurnakan sejak integrasi pengurusan wakaf bersama PKZ Pahang pada 2022.
Menurutnya, sehingga Oktober 2026, sebanyak 47 lagi projek wakaf dengan nilai keseluruhan RM68.4 juta berada dalam portfolio pembangunan untuk direalisasikan secara berperingkat.
“Pelaksanaan Wakaf Irsod merangkumi pelbagai sektor termasuk pembinaan masjid dan surau, institusi pendidikan Islam, tanah perkuburan Islam, kemudahan kesihatan dan kebajikan serta pembangunan ekonomi wakaf.
“Ketika ini, sebanyak 103 masjid dan 75 surau, 69 madrasah, 54 tanah perkuburan Islam serta 37 rumah telah diwakafkan untuk manfaat masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Wakaf Irsod 2026 di sini.
Dalam perkembangan sama, kutipan wakaf sehingga 31 Oktober lalu mencatatkan RM5.9 juta, meningkat sebanyak 39 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, penganjuran seminar berkenaan turut menjunjung titah Sultan Pahang supaya potensi Wakaf Irsod dimanfaatkan sebagai instrumen strategik pembangunan ekonomi Islam berlandaskan Enakmen Wakaf Pahang 2022.
“Seminar ini bukan sekadar medan wacana ilmiah, bahkan menjadi pemangkin kepada tindakan nyata melalui penggemblengan aset kerajaan, komitmen institusi dan penyertaan sektor korporat bagi menjana manfaat wakaf yang berkekalan,” katanya.
Tambahnya, tiga keutamaan strategik yang digariskan ialah mengenal pasti aset kerajaan berpotensi, membangunkan projek wakaf berimpak tinggi serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi kewangan Islam dan sektor korporat.
Katanya, cabaran terbesar pembangunan wakaf bukan sekadar kekurangan sumber, sebaliknya keupayaan menyatukan dasar, aset, kepakaran dan komitmen semua pihak kepada tindakan pelaksanaan.
Antara fokus utama seminar ialah status dan pentadbiran tanah wakaf, keperluan syariah serta perundangan, model pembangunan dan pembiayaan, selain struktur kerjasama serta tadbir urus. -PAHANGMEDIA

