Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 03 OKTOBER 2026 : Pemuda UMNO Pahang menyatakan sokongan terhadap pendirian Kerajaan Negeri Pahang dalam isu pertikaian cukai tanah melibatkan Berjaya Hills Resorts Berhad (Berjaya Hills), selain menegaskan bahawa keputusan mahkamah yang telah dibuat wajar dihormati semua pihak.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang, Encik Mohd Kamil Ibrahim berkata, pendirian itu dibuat berdasarkan kedudukan undang-undang serta keputusan mahkamah setakat ini, khususnya Alasan Penghakiman Mahkamah Rayuan bertarikh 16 Julai 2026.
Tambahnya, keputusan Mahkamah Rayuan yang sebulat suara menolak kelima-lima rayuan berkaitan mengesahkan bahawa tindakan Kerajaan Negeri dalam menyemak kadar cukai tanah mempunyai asas perundangan.
“Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 14(1)(e) Kanun Tanah Negara 1965 memberikan kuasa kepada Pihak Berkuasa Negeri untuk menentukan kadar cukai tanah, manakala Seksyen 101 memberikan kuasa untuk menyemak kadar tersebut.
“Justeru, kuasa Kerajaan Negeri Pahang untuk menentukan dan menyemak kadar cukai tanah adalah diperuntukkan di bawah Kanun Tanah Negara, sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Rayuan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, persoalan berhubung keperluan mendapatkan kelulusan Majlis Tanah Negara (MTN) bagi semakan kadar cukai tanah turut telah dipertimbangkan oleh Mahkamah Rayuan.
“Ringkasnya, MTN memberikan kelulusan untuk semakan dibuat, manakala Kerajaan Negeri menentukan kadar cukai tanah,” katanya.
Menurutnya, kedudukan itu penting untuk difahami supaya perbincangan mengenai pertikaian cukai tanah tidak dibuat berdasarkan persepsi atau maklumat yang tidak lengkap.
Jelasnya, Pemuda UMNO Pahang turut mengambil maklum bahawa cabaran Berjaya Hills terhadap semakan kadar cukai tanah berkenaan telah ditolak di Mahkamah Tinggi sebelum kemudiannya dibawa ke Mahkamah Rayuan.
“Kami menghormati hak Berjaya Hills untuk meneruskan proses perundangan tersebut. Namun, kedudukan semasa juga perlu dinyatakan dengan tepat bahawa cabaran Berjaya Hills setakat ini telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan, Pemuda UMNO Pahang menyokong pendirian Kerajaan Negeri berdasarkan kedudukan undang-undang dan keputusan Mahkamah setakat ini.
“Rakyat juga berhak mengetahui bahawa berdasarkan Alasan Penghakiman Mahkamah Rayuan, Kerajaan Negeri Pahang mempunyai punca kuasa di bawah Kanun Tanah Negara untuk menentukan dan menyemak kadar cukai tanah, manakala cabaran Berjaya Hills setakat ini telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
“Perbezaan pandangan mengenai kadar cukai boleh dibincangkan dan proses undang-undang yang masih berjalan perlu dihormati. Pada masa yang sama, fakta undang-undang serta keputusan Mahkamah yang telah dibuat juga wajar dihormati.
“Pemuda UMNO Pahang akan terus berpegang kepada fakta, kedaulatan undang-undang dan kepentingan rakyat Pahang,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

