KUANTAN, 04 OKTOBER 2026 : Persatuan Kontraktor Kelas F Negeri Pahang Darul Makmur (PKKF Pahang) menyokong ketegasan Kerajaan Negeri Pahang dalam mempertahankan hak negeri serta memastikan kewajipan membayar cukai tanah dipatuhi semua pemilik tanah tanpa mengira saiz, kedudukan atau latar belakang.
Yang Dipertua PKKF Pahang, Ahmad Faiz Zulkifly berkata, tindakan berkaitan pelucuthakan 122 hak milik tanah di Bukit Tinggi, Bentong yang melibatkan tunggakan cukai tanah berjumlah RM70,481,097 perlu dilihat berdasarkan proses pentadbiran dan perundangan yang telah dilalui.
“Laporan pihak berkuasa menyatakan notis berkaitan telah diserahkan dan Notis 8A telah diwartakan sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.
“Justeru, perkara ini perlu dilihat berdasarkan proses pentadbiran dan undang-undang yang telah dilalui, bukan semata-mata reaksi terhadap tindakan penguatkuasaan yang diambil,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, hasil negeri adalah kepentingan rakyat dan Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab untuk memastikan hasil berkenaan dilindungi serta undang-undang tanah dikuatkuasakan secara adil dan konsisten.
“Tiada pemilik tanah wajar mendapat layanan istimewa atau dikecualikan daripada kewajipan yang dikenakan kepada pemilik tanah lain.
“Prinsipnya jelas, apabila sesuatu kewajipan ditetapkan oleh undang-undang, ia hendaklah dipatuhi oleh semua pihak,” katanya.
Dalam pada itu, PKKF Pahang turut mengambil maklum keputusan Mahkamah Rayuan pada 16 Julai 2026 yang menolak rayuan berkaitan kuasa Kerajaan Negeri dalam menyemak kadar cukai tanah.
Ahmad Faiz berkata, keputusan berkenaan memperlihatkan kedudukan kuasa negeri dalam perkara tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang yang terpakai.
Bagaimanapun, katanya, PKKF Pahang menghormati arahan penangguhan sementara yang dilaporkan telah dikeluarkan mahkamah berhubung tindakan penguatkuasaan berkenaan.
“Sebarang arahan sementara mahkamah hendaklah dipatuhi sepenuhnya sementara prosiding berjalan.
“Pada masa sama, arahan penangguhan sementara tidak wajar ditafsirkan sebagai keputusan muktamad yang menafikan hak Kerajaan Negeri.
“Segala isu yang masih dipertikaikan hendaklah diputuskan melalui proses perundangan dan kita perlu menghormati keputusan mahkamah,” katanya.
Tegasnya, PKKF Pahang kekal dengan pendirian bahawa Kerajaan Negeri mempunyai hak dan tanggungjawab untuk mempertahankan tanah serta hasil negeri melalui saluran undang-undang.
“Hak negeri mesti dipertahankan. Hasil negeri mesti dilindungi. Undang-undang pula mesti dikuatkuasakan secara adil kepada semua.
“Dalam masa sama, semua pihak hendaklah menghormati proses mahkamah dan tidak mendahului keputusan yang belum diputuskan,” katanya. -PAHANGMEDIA

