Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 03 OKTOBER 2026 : Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang menyokong tindakan penguatkuasaan undang-undang berhubung tunggakan cukai tanah membabitkan 122 hak milik di Berjaya Hills, Bukit Tinggi, Bentong, yang dilaporkan berjumlah RM70.48 juta sejak 2020.
Yang Dipertuanya, Encik Yusri Yusof berkata, DPMM Pahang menghormati sepenuhnya kedaulatan undang-undang serta proses perundangan yang sedang berjalan, selain berpandangan setiap pemilik tanah termasuk syarikat dan entiti korporat bertanggungjawab memenuhi kewajipan berkaitan cukai tanah.
Katanya, tindakan penguatkuasaan yang tegas perlu bagi memastikan pematuhan terhadap syarat dan peruntukan undang-undang serta prinsip keadilan terus ditegakkan.
“Tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan pada 28 September 2026 selepas proses dan notis berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun menurutnya, DPMM Pahang berpandangan ruang rundingan dan penyelesaian secara konstruktif antara Kerajaan Negeri dan pihak syarikat wajar terus dibuka tanpa menjejaskan hak serta proses perundangan mana-mana pihak.
Katanya, sebagai organisasi yang mewakili komuniti perniagaan, DPMM Pahang turut mengambil kira aspek kesinambungan perniagaan, keyakinan pelabur, kepentingan pekerja dan kesan isu berkenaan terhadap ekosistem ekonomi tempatan.
“Pada masa sama, kepastian undang-undang, ketelusan pentadbiran, kejelasan kadar dan kewajipan cukai serta proses penguatkuasaan yang teratur amat penting bagi memastikan Pahang terus menjadi negeri yang diyakini pelabur dan komuniti perniagaan,” katanya.
Tambahnya, prinsip pematuhan perlu terpakai secara adil kepada semua pemilik tanah, sama ada individu, syarikat kecil, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mahupun korporat besar, dengan pendekatan yang mengimbangi ketegasan penguatkuasaan undang-undang dan ruang dialog demi kepentingan negeri, pekerja, komuniti perniagaan serta kesinambungan aktiviti ekonomi Pahang. -PAHANGMEDIA

