Oleh: Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 16 NOVEMBER 2026 : Kadar bantut dalam kalangan kanak-kanak di Pahang berjaya diturunkan daripada 28.2 peratus pada 2022 kepada 19.6 peratus berdasarkan data terkini Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), hasil pelaksanaan pelbagai intervensi kesihatan oleh Kerajaan Negeri dan jabatan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, Pahang merekodkan kadar bantut tertinggi di Malaysia iaitu 28.2 peratus.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha berterusan yang dilaksanakan JKNP bersama Kerajaan Negeri berjaya menunjukkan perkembangan positif apabila kadar berkenaan kini mencatatkan penurunan sebanyak 8.6 mata peratusan.
“Kalau kita lihat daripada NHMS pada tahun 2022, kadar bantut di Pahang adalah 28.2 peratus iaitu tertinggi di Malaysia. Tetapi alhamdulillah, hasil tindakan Jabatan Kesihatan Negeri dan Kerajaan Negeri Pahang, kita dapat menurunkan kadar ini.
“Berdasarkan data yang dikumpulkan sendiri oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, kadar bantut sehingga kini adalah 19.6 peratus.

“Kita berharap angka yang akan dikeluarkan menerusi NHMS nanti tidak jauh berbeza dengan data Jabatan Kesihatan Negeri Pahang kerana angka yang kita gunakan ini berdasarkan data sebenar yang dikumpulkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili YAB Menteri Besar Pahang merasmikan Majlis Penutup Seminar Kependudukan: Kelestarian Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Pemacu Agenda Negeri Sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia Peringkat Negeri Pahang Tahun 2026 di Hotel Grand DarulMakmur, di sini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Abdul Zaki Mat Zain dan Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pahang, Puan Nurfarhana Lee Zulkiflee Lee.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri terus mempergiat usaha menangani masalah bantut menerusi intervensi kesihatan bersasar, pendidikan pemakanan serta sokongan kepada keluarga berisiko, khususnya golongan berpendapatan rendah dan masyarakat Orang Asli.
Katanya, Pekan, Lipis dan Rompin dikenal pasti antara daerah yang mencatatkan kadar bantut lebih tinggi, terutama di kawasan penempatan masyarakat Orang Asli.
“Antara faktor yang menyumbang kepada masalah bantut ini ialah kedudukan sosioekonomi keluarga yang rendah. Justeru, kita memberi tumpuan kepada kawasan dan kumpulan berisiko supaya intervensi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata, JKNP turut memperkukuh pendidikan pemakanan seimbang kepada ibu mengandung bagi memastikan bayi dilahirkan dengan berat yang sihat, iaitu melebihi 2.5 kilogram, selain menggalakkan amalan penyusuan susu ibu.

Sementara itu, Dato’ Ir. Razali berkata, Kerajaan Negeri turut memandang serius isu kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja dengan mewujudkan Jawatankuasa Pelan Tindakan Menangani Masalah Remaja Hamil Luar Nikah Negeri Pahang.
Menurutnya, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
“Ini merupakan komitmen Kerajaan Negeri untuk mengukuhkan institusi keluarga, memperluas pendidikan dan kesedaran kesihatan dalam masyarakat serta memberi tumpuan kepada intervensi awal dan perkhidmatan sokongan kepada golongan berisiko,” katanya.
Beliau berkata, aspek kependudukan, kesihatan reproduktif dan kesejahteraan keluarga perlu terus diberi perhatian bagi memastikan generasi akan datang membesar dalam keadaan sihat, berkualiti dan mampu menjadi pewaris kepimpinan negeri serta negara. -PAHANGMEDIA

