Oleh: Nur Saadah Artika
KUANTAN, 17 NOVEMBER 2026 : Kontinjen Negeri Pahang mencipta kejayaan membanggakan apabila muncul johan keseluruhan Malaysia Techlympic Peringkat Kebangsaan 2026 dengan kutipan enam pingat emas dan dua pingat perak.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, kejayaan itu membuktikan keupayaan anak-anak Pahang dalam menguasai bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), selain mampu bersaing dalam bidang teknologi dan inovasi.

Katanya, pencapaian tersebut juga memperlihatkan potensi besar generasi muda Pahang untuk diketengahkan sebagai bakat teknologi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
“Kejayaan ini bukan sekadar kutipan pingat, tetapi membuktikan anak-anak Pahang mempunyai potensi besar untuk meneroka dunia teknologi, mencipta inovasi dan bersaing di pentas yang lebih luas,” katanya.
Enam pingat emas Pahang masing-masing diraih menerusi kategori Drone Venture oleh SK Air Putih, Kuantan; Cabaran Drone Navigator oleh East Coast Elite; Cabaran Siasatan Jenayah oleh gabungan SMK Sulaiman, SMK Jengka Pusat dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang; Cabaran Inovasi AI oleh SMK Sulaiman, Bentong; Cabaran FC-1 Vibe AI oleh SMK Sulaiman, Bentong dan Cabaran Metaverse Belia oleh East Coast Elite.

Sementara itu, dua pingat perak pula disumbangkan menerusi Cabaran Siasatan Jenayah oleh SK Gambang, Kuantan dan Ideanovathon Belia oleh Politeknik Sultan Ahmad Shah.
Selain kejayaan tersebut, kontinjen Pahang turut mencatat pencapaian di tempat keempat menerusi Cabaran Kereta Roket: Pembentangan oleh SMK Seri Bentong, SMK Bentong dan SMK LKTP Kampung Sertik, serta Cabaran Innovatech PPKI oleh SK Sulaiman, Bentong.
Pahang turut meraih tempat kelima menerusi Cabaran EZBot Pra Sekolah oleh SK Tuanku Fatimah, Bentong, Cabaran FC-1 Vibe AI oleh SMK Seri Jengka, Maran dan Cabaran AI Vibe Coding Dron oleh sekolah sama.

Lebih membanggakan, kejayaan tersebut dicapai dalam pertandingan yang turut menghimpunkan peserta dari Indonesia, Kemboja, Thailand, Rusia, Vietnam dan China, sekali gus memberikan ruang kepada bakat muda Pahang menguji keupayaan mereka dalam persaingan yang lebih kompetitif.
YB Dato’ Mohamad Nizar turut merakamkan penghargaan kepada semua murid, guru pembimbing, jurulatih, ibu bapa, pentadbir serta warga sekolah yang menjadi penggerak kepada kejayaan kontinjen Pahang.
Katanya, kejayaan itu wajar dijadikan pemangkin untuk terus memperkukuh budaya STEM dalam kalangan generasi muda Pahang, khususnya melalui ruang pembelajaran yang menggalakkan kreativiti, penyelesaian masalah dan penghasilan inovasi.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua murid, guru pembimbing, jurulatih, ibu bapa, pentadbir dan seluruh warga sekolah yang menjadi tulang belakang kejayaan ini.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai murid untuk berani mencuba, berfikir di luar kotak dan mencipta inovasi yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat serta menjadi peneraju teknologi pada masa hadapan,” katanya. -PAHANGMEDIA

