Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
MARAN, 03 OKTOBER 2026 : Kerajaan Pahang akan memberikan keutamaan kepada anak-anak negeri dalam mengisi peluang pekerjaan serta meneroka peluang ekonomi yang bakal diwujudkan menerusi pengoperasian tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hasrat berkenaan telah disampaikan kepada Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan pihak berkaitan supaya manfaat projek ECRL dapat dirasai secara langsung oleh rakyat tempatan.
Menurut beliau, keutamaan akan diberikan bukan sahaja melibatkan peluang pekerjaan di tujuh stesen berkenaan, malah merangkumi peluang perniagaan dan aktiviti ekonomi yang bakal berkembang di sekitar stesen ECRL.
“Saya telah memberitahu kepada pihak MRL supaya memberi keutamaan kepada anak-anak Pahang terutamanya yang bekerja di tujuh stesen. Dan saya menganggap ini satu permintaan khas daripada Kerajaan Negeri dan ianya mesti diberi keutamaan saya sendiri telah menyatakan hasrat saya supaya peluang-peluang ini diberi kepada anak-anak Pahang.
“Bukan sahaja peluang pekerjaan malahan peluang-peluang ekonomi untuk meniaga dan sebagainya pun diberi keutamaan dan Kerajaan Negeri akan membantu di mana perlu supaya memudahkan urusan untuk memulakan perniagaan di tujuh-tujuh stesen di Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata, kewujudan ECRL juga dilihat akan membentuk satu rantaian pengangkutan yang menghubungkan daerah-daerah di Pahang, selain memudahkan pergerakan rakyat ke Terengganu, Kelantan dan negeri-negeri lain.
“Perjalanan daripada PPSAS (Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah) ke Gombak memakan masa 1 jam setengah, jadi ini memberi kemudahan, keselesaan kepada kita daripada Pahang untuk pergi ke daerah lain ataupun ke negeri lain, balik ke Tengganu ataupun ke Kelantan.
“Di Pahang kita ada tujuh perhentian dan ini memudahkan juga untuk kita bergerak daripada satu daerah ke satu daerah. Ini adalah rantaian pengangkutan yang kita wujudkan dan memendekkan masa perjalanan dan dalam masa yang sama kita boleh menjemput atau menggalakkan pelabur-pelabur datang ke Negeri Pahang.
“Insya Allah bulan 12 ini akan dapat beroperasi, dan dalam masa yang sama boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas di Karak highway. Walaupun kita tidak boleh sifarkan kesesakan lalu lintas di Karak highway tetapi boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Tambah beliau, ECRL dijadualkan mula beroperasi pada Januari 2027, namun Kerajaan Negeri sedang berusaha supaya perkhidmatan itu dapat dimulakan lebih awal, iaitu pada Disember ini sekiranya beberapa isu teknikal dapat diselesaikan. -PAHANGMEDIA

