KUANTAN, 03 OKTOBER 2026 : “Tak kira siapa, hak Pahang tetap hak Pahang.”
Itu pendirian tegas Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) berhubung isu penguatkuasaan terhadap tanah di Bukit Tinggi, Bentong yang melibatkan tunggakan cukai tanah lebih RM70 juta serta 122 hak milik yang telah dilucutkan kepada Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Saharuddin Ahmad, isu berkenaan bukan semata-mata membabitkan sebuah syarikat atau jumlah tunggakan yang besar, sebaliknya menyentuh soal prinsip, pematuhan undang-undang dan hak negeri.
“Setiap pemilik tanah mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan kewajipan yang ditetapkan, manakala kerajaan pula bertanggungjawab memastikan hasil negeri dikutip dan diurus dengan baik demi kepentingan rakyat.
“Kalau rakyat biasa perlu membayar cukai tanah, syarikat besar juga tidak boleh diletakkan di luar kerangka undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Saharuddin berkata MBNP menghormati sepenuhnya proses mahkamah serta hak mana-mana pihak untuk mendapatkan keadilan melalui saluran perundangan yang tersedia.
“Kami tidak mahu melihat undang-undang hanya tegas kepada yang kecil tetapi longgar kepada yang besar.
“Dalam soal hasil dan tanah negeri, prinsipnya mudah. Siapa yang wajib bayar, bayarlah. Siapa yang melanggar undang-undang, hadapilah prosesnya dan siapa pun yang mempertahankan hak negeri, hendaklah dihormati,” katanya.
Menurut beliau, ketegasan dalam pentadbiran tanah turut menjadi sebahagian daripada usaha memastikan hasil negeri dapat dimanfaatkan semula untuk pembangunan, infrastruktur, pendidikan, belia dan kesejahteraan rakyat Pahang.
Saharuddin berkata Pahang kekal terbuka kepada pelaburan dan pembangunan ekonomi, namun perkara itu perlu berjalan seiring dengan pematuhan undang-undang, tanggungjawab korporat serta kepentingan rakyat.
“Tak kira siapa. Tak kira sebesar mana syarikat. Hak Pahang tetap hak Pahang. Undang-undang tetap undang-undang,” katanya. -PAHANGMEDIA

