Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Aimi Syafiqa Khairi
ROMPIN, 03 OKTOBER 2026 : Usaha memastikan pengguna lebuh raya menikmati makanan yang bersih, selamat dan berkualiti diperkukuh apabila tujuh premis makanan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Hentian Barat, Muadzam Shah menerima pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS).
Program berkenaan merupakan penganjuran kali ketiga selepas dilaksanakan di Menara 188 Kuantan pada 2024 dan Gohtong Jaya, Genting Highlands pada 2025.
Muadzam Shah dipilih sebagai lokasi program tahun ini berikutan kedudukannya yang menjadi antara lokasi tumpuan pengguna lebuh raya yang melalui daerah Rompin.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kasim berkata, R&R Muadzam Shah sering menjadi lokasi persinggahan pengguna dari Johor, Negeri Sembilan dan Melaka yang dalam perjalanan menuju Kuantan, Terengganu serta Kelantan.
“Daripada Segamat sampai Kuantan, ini kedudukannya di tengah-tengah dan menjadi tempat yang sesuai untuk mereka berhenti, selain di sini juga terdapat stesen minyak dan kemudahan lain,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan R&R berkenaan yang menjadi tumpuan pengguna dari pelbagai negeri menjadikan aspek kebersihan premis makanan sebagai perkara penting yang perlu diberi perhatian pengusaha.
“Jadi sebab itu kita berharap dengan program ini memberi satu galakan dan semangat kepada pengusaha-pengusaha untuk memastikan kedai makanan mereka bersih dan juga bebas daripada asap rokok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus sempena Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) Jabatan Kesihatan Negeri Pahang 2026 di kawasan Rehat dan Rawat Hentian Barat, Muadzam Shah, di sini hari ini.
Menurutnya, pengiktirafan BeSS yang diterima tujuh premis terbabit diharap menjadi suntikan motivasi kepada pengusaha lain untuk turut berusaha mendapatkan pengiktirafan sama.
Katanya, pelekat atau tanda pengiktirafan BeSS yang dipamerkan di premis bukan sahaja membantu pengguna membuat pilihan, malah memberi keyakinan terhadap tahap kebersihan dan keselamatan makanan yang disediakan.

“Apabila mereka mendapat pengiktirafan ini dan ada pelekat di kedai mereka, ini juga menjadi tarikan kepada pengunjung untuk memilih kedai-kedai yang ada pengiktirafan ini,” katanya.
Dalam pada itu, program turut merangkumi sesi walkabout dan town hall yang memberi ruang kepada pengusaha mengemukakan pandangan, persoalan serta cadangan berkaitan aspek kesihatan dan pengurusan premis.
Antara cadangan yang dibangkitkan ialah supaya kerajaan negeri membantu pengusaha menanggung kos suntikan tifoid yang dianggarkan antara RM80 hingga RM90, dengan tempoh sah selama tiga tahun.
“Perkara ini saya akan bangkitkan kepada pihak kerajaan negeri dan saya harap pihak kerajaan negeri dapat mempertimbangkan suara hati pengusaha-pengusaha,” katanya.
Langkah berkenaan diharap dapat membantu meningkatkan tahap kebersihan premis, selain memberi keyakinan kepada pengguna terhadap aspek keselamatan makanan. -PAHANGMEDIA

