Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
MARAN, 03 OKTOBER 2026 : Program Walk A Town with Tok Wan sempena Karnival Aspirasi Pahang 1st di Bandar Jengka, malam tadi mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 7,000 peserta membanjiri Stadium Tun Abdul Razak.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sambutan tersebut turut menyaksikan Kerajaan Negeri menambah 2,000 helai baju selepas 5,000 helai yang disediakan pada awalnya mendapat permohonan daripada orang ramai.
Menurut beliau, jumlah kehadiran itu menunjukkan program berkenaan mendapat sambutan amat baik daripada masyarakat setempat, malah keadaan hujan tidak menghalang orang ramai untuk terus menyertai aktiviti yang dianjurkan.

“Baju yang dikeluarkan 5,000 helai yang diberi secara percuma. Oleh sebab ada permohonan lagi, kita keluarkan lagi 2,000 helai.
“Jangkaan yang hadir dalam 7,000. Tok Wan rasa bersemangat apabila melihat penduduk di sini walaupun hujan masih berada dan masih turut bersama-sama dalam larian Walk A Town with Tok Wan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Santai Bersama-Sama Tok Wan sempena Karnival Aspirasi Pahang 1st di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Jengka, malam tadi.

Katanya, program berkenaan merupakan antara pendekatan Kerajaan Negeri untuk turun padang dan berinteraksi secara langsung dengan rakyat dalam suasana santai serta tidak terlalu formal.
“Ini adalah salah satu cara Kerajaan Negeri turun ke padang selain daripada kita mengadakan program santai seperti ini.
“Dalam masa yang sama kita menjemput juga usahawan kecil dan sederhana untuk berniaga,” katanya.
Menurut beliau, kehadiran ribuan pengunjung turut memberi manfaat kepada usahawan kecil dan sederhana apabila produk serta barangan yang dijual mendapat sambutan orang ramai selain program seperti ini akan diteruskan lagi di masa akan datang.

“Usahawan kecil dan sederhana ini mereka sebenarnya tidak ada platform yang khusus untuk mereka memasarkan barangan mereka.
“Jadi dengan adanya program seperti ini bayangkan katalah 6,000 yang hadir 1,000 orang dah pergi membeli di booth mereka berapa dah mereka boleh dapat.
“Program seperti ini akan diteruskan kerana kita merasakan ini adalah satu medan, platform untuk rakyat dapat berjumpa dan dalam masa yang sama boleh mengeratkan silaturahim sesama kita,” katanya. -PAHANGMEDIA

