Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
JERANTUT, 02 OKTOBER 2026 : Pahang akan terus memperkukuh usaha memastikan golongan wanita di negeri ini mendapat sokongan dan peluang yang adil untuk berkembang serta menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, komitmen itu merangkumi wanita di bandar, kampung, kawasan Felda, pedalaman termasuk komuniti Orang Asli tanpa mengira latar belakang.
Katanya, pendekatan Kerajaan Negeri terhadap agenda wanita kini bukan lagi sekadar memberikan bantuan ketika diperlukan, sebaliknya memberi penekanan kepada pembinaan keupayaan, kemandirian dan daya tahan wanita dalam jangka panjang.

“Kerajaan Negeri mahu wanita Pahang bukan sahaja dibantu apabila memerlukan, tetapi juga diberikan ilmu, kemahiran, jaringan dan peluang supaya mereka mampu berdikari dengan yakin, menjana pendapatan serta membuat keputusan yang memberi manfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selaku wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang pada Sambutan Hari Wanita Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang Tahun 2026 di Dewan Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) Kampus Jerantut, di sini, hari ini.
Turut dihadiri, Pengerusi Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), YH. Dato’ Sri Maznah Mazlan; Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Pahang, YBhg. Datin Sri Noorhayati Ismail; Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita (JPW) Negeri Pahang, Puan Zareena Ahmad, serta barisan pimpinan Kerajaan Negeri.
YB. Dato’ Hajah Sabariah berkata, usaha memperkasa wanita dilaksanakan menerusi pelbagai program termasuk Anggun Maju yang memberi tumpuan kepada keusahawanan, kemahiran dan teknologi, selain Wadah Wanita Anggun Digital yang membantu wanita menguasai pemasaran perniagaan, penghasilan kandungan, penjenamaan serta keselamatan digital.

Selain itu katanya, agenda pemerkasaan wanita turut memberi penekanan kepada pembinaan keluarga menerusi program Anggun Suri yang membantu pasangan menghadapi kekangan kos untuk melangsungkan perkahwinan serta membina keluarga yang stabil dan bahagia.
Bagi tahun ini katanya, program Anggun Suri melibatkan pasangan dari seluruh Pahang termasuk 14 pasangan dari daerah Jerantut, manakala program Permata Makmur menyediakan bantuan kepada bayi yang lahir di Pahang dan layak menerusi bantuan tunai serta simpanan SSPN.
Dalam pada itu beliau berkata, pengiktirafan terhadap wanita juga penting bagi memastikan sumbangan mereka kepada keluarga, komuniti dan negeri terus dihargai, termasuk menerusi Anugerah Wanita Hebat Negeri Pahang 2026 dan Anugerah Khas Ibu Hebat yang diperkenalkan di setiap mukim di daerah Jerantut.
Sambutan yang dianjurkan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Pahang itu turut menyaksikan Dato’ Hajah Rosni Zahari menerima Anugerah Tokoh Wanita Pahang, manakala Anugerah Wanita Hebat Negeri Pahang 2026 diberikan kepada Puan Haslinda Mohd Fauzi bagi kategori Organisasi Saksama Gender, Pertubuhan Pronita Pahang (NGO Prihatin Komuniti), Puan Rosseffazleen Abdul Rahaman (Usahawan Wanita Cemerlang) dan Puan Rosyatina Wahab (Wanita Inspirasi Pahang).

Dalam pada itu, Anugerah Khas Ibu Hebat Daerah Jerantut menyenaraikan sembilan calon dari sembilan mukim, iaitu Dato’ Hajah Nazilah Abd Latif dari Mukim Pulau Tawar; Puan Hajah Foziah Haji Ab Rahman (Mukim Kuala Tembeling); Normala Tugiman (Mukim Teh); Datin Zaharah Hussin (Mukim Kelola); Hamidah Mat Noh (Mukim Pedah); Zaitun Dollah (Mukim Ulu Cheka); Hajah Zaharah Zainal (Mukim Burau); Puan Latifah Hanam Ali (Mukim Tebing Tinggi) dan Puan Norhayati Abu Bakar (Mukim Tembeling Tengah).
Turut disenaraikan sebagai penerima Tokoh Wanita Terbilang Negeri Pahang ialah YH Dato’ Sri Hajah Shahaniza binti Shamsuddin.
Ujarnya lagi, pengiktirafan berkenaan membuktikan bahawa sumbangan wanita dalam pelbagai bidang mempunyai nilai yang besar dan wajar diberikan penghargaan, termasuk golongan ibu yang menjadi tunjang keluarga serta memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan.
“Semoga pengiktirafan ini menjadi pendorong penghargaan masyarakat terhadap pengorbanan dan kasih sayang yang telah dicurahkan oleh wanita,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

