Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 02 OKTOBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang mencatat pencapaian membanggakan melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang (PSUK Pahang) apabila meraih enam penarafan kategori sempena Majlis Apresiasi Penarafan Pengurusan Aduan Awam Peringkat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri.
Majlis penyampaian penarafan tersebut telah berlangsung di Dewan Damar Sari 3, Kompleks F, Putrajaya pada 1 Oktober 2026.
Pencapaian tersebut merupakan hasil Naziran Pengurusan Aduan Awam yang dilaksanakan oleh Biro Pengaduan Awam (BPA), Jabatan Perdana Menteri melibatkan 13 Pejabat SUK Negeri di seluruh negara.

Enam kategori penarafan yang diraih oleh PSUK Pahang merangkumi Kecekapan Respons Awam; Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan; Pemerkasaan Kompetensi Pengurusan Aduan; Tadbir Urus Pengurusan Aduan; Komunikasi Awam Strategik dan Keunggulan Inovasi Digital.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan diterima oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pengurusan), YH. Dato’ Ts. Gs. Dr. Mohd Zakaria Ibrahim bagi pihak PSUK Pahang.
Pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen berterusan PSUK Pahang dalam memperkukuh sistem pengurusan aduan awam, khususnya bagi memastikan setiap aduan rakyat ditangani secara cekap, telus dan bertanggungjawab. -PAHANGMEDIA

