Oleh: Nur Saadah Artika
KUANTAN, 02 OKTOBER 2026 : Tourism Pahang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh potensi pelancongan di kesemua 11 daerah menerusi penyediaan Pelan Strategik Pelancongan Pahang 2027-2031 bagi memastikan pembangunan sektor itu lebih tersusun, berfokus dan memberi impak ekonomi jangka panjang.
Pengurus Besar Tourism Pahang, Puan Nor Zahira Muhammad Azmi berkata, pelan strategik berkenaan akan menjadi panduan utama dalam menentukan fokus, keutamaan serta pelaksanaan program dan inisiatif pembangunan pelancongan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Pelan Strategik Pelancongan Pahang 2027-2031 akan menjadi panduan utama kepada Tourism Pahang dalam menentukan fokus, keutamaan serta pelaksanaan program dan inisiatif pembangunan pelancongan negeri.
“Kita mahu setiap perancangan yang dirangka bukan sahaja mampu meningkatkan kedatangan pelancong, tetapi turut memberi impak ekonomi yang lebih luas kepada pemain industri, usahawan pelancongan dan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bengkel Pelan Strategik Pelancongan Pahang 2027-2031 yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 September hingga 2 Oktober 2026 di Hotel Grand DarulMakmur, di sini.
Menurut beliau, setiap daerah di Pahang mempunyai keunikan dan kekuatan produk tersendiri yang perlu dikenal pasti serta dibangunkan secara strategik bagi memastikan manfaat pertumbuhan industri dapat dirasai secara lebih menyeluruh.
“Pahang mempunyai kekuatan produk pelancongan yang sangat pelbagai, daripada tanah tinggi, pantai dan pulau, taman negara serta khazanah biodiversiti hinggalah kepada warisan, budaya, gastronomi dan pelancongan berasaskan komuniti.
“Kekuatan ini perlu disusun dan dibangunkan secara strategik supaya Pahang kekal sebagai antara destinasi pelancongan utama negara serta mampu bersaing dalam pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya.

Bengkel anjuran Tourism Pahang dengan kerjasama Pahang Corporate Management Services (PCMS) itu menjadi platform untuk merangka hala tuju, strategi serta keutamaan pembangunan sektor pelancongan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Usaha berkenaan turut mengambil kira perubahan trend pelancongan dan keperluan industri yang semakin dinamik, selain memastikan pembangunan sektor pelancongan negeri dilaksanakan secara lebih mampan dan berimpak tinggi.
Pelan strategik itu juga akan mengambil kira momentum Visit Malaysia 2026 dan 2027, khususnya dalam memastikan usaha promosi serta pembangunan produk pelancongan yang dilaksanakan dapat diteruskan secara konsisten dan memberi impak jangka panjang kepada industri pelancongan Pahang. -PAHANGMEDIA

