Oleh : Syafiqah Jamaluddin
KUALA LUMPUR, 2 OKTOBER 2026 : Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berada pada landasan baik untuk dibuka kepada orang ramai seawal Disember ini, susulan keputusan positif ujian dan pentauliahan tren yang sedang dijalankan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Dato’ Sri Darwis Abdul Razak berkata, pihaknya kini bersedia untuk bergerak ke fasa seterusnya selepas ujian yang dilaksanakan menunjukkan keputusan positif.
Bagaimanapun, katanya, pembukaan kepada orang ramai masih tertakluk kepada keputusan dan pengumuman rasmi kerajaan.
“Hasrat kita untuk menyahut saranan kerajaan untuk membuka ECRL kepada orang ramai pada bulan Disember. Setakat ini berada pada landasan yang baik.
“Keputusan-keputusan pengujian dan pentauliahan tren kita telah diperoleh dan mendapat keputusan yang positif untuk kita bergerak ke arah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai perjalanan Comprehensive Inspection Train (CIT) bersama YAB Menteri Besar Pahang, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang dan wakil Kerajaan Negeri Pahang dari KotaSAS ke Gombak, yang merekodkan tempoh perjalanan hanya 88 minit.
Menurut beliau, tempoh perjalanan berkenaan menepati sasaran yang ditetapkan sebelum ini iaitu sekitar 90 minit bagi perjalanan antara KotaSAS dan Gombak.
“Alhamdulillah, tempoh perjalanan dapat kita saksikan sendiri bagaimana kita telah sampai di Gombak daripada KotaSAS selama 88 minit.
“Ini tentunya seperti mana yang telah kita war-warkan sebelum ini iaitu tempoh perjalanan daripada KotaSAS ke Gombak ataupun Gombak ke KotaSAS selama 90 minit,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama berterusan antara Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan amat penting bagi memastikan pembukaan ECRL kepada orang ramai dapat dilaksanakan dengan lancar serta mengikut ketetapan.
Mengulas mengenai CIT, Darwis menjelaskan tren berkenaan digunakan untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh serta mengumpul data secara masa nyata berkaitan keadaan landasan, sistem talian elektrik atas kepala (OCS) dan sistem persinyalan.
Katanya, tren penumpang ECRL pula akan dilengkapi kemudahan asas seperti kafe dan surau.
“CIT ini mempunyai peralatan khusus termasuk komputer, sensor dan bilik mesyuarat bagi tujuan pemeriksaan serta pengujian,” katanya.-PAHANGMEDIA

