Oleh : Syafiqah Jamaluddin
KUANTAN, 2 OKTOBER 2026 : Tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Pahang bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat, sekali gus merancakkan ekonomi setempat apabila projek berkenaan beroperasi kelak.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya berharap Malaysia Rail Link (MRL) memberi keutamaan kepada anak-anak Pahang yang berkelayakan untuk mengisi peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan menerusi pengoperasian ECRL.
“Apabila ada projek-projek baru sudah tentunya ianya akan datang sekali dengan peluang-peluang pekerjaan dan saya berharap pihak MRL akan memberi keutamaan kepada anak-anak Pahang yang berkelayakan untuk bekerja dengan MRL,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini sudah ramai anak Pahang yang menjawat jawatan dalam MRL dan jumlah itu dijangka bertambah apabila ECRL beroperasi sepenuhnya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut mengadakan perbincangan bagi memastikan tujuh stesen ECRL di Pahang dapat dimanfaatkan sebagai pusat aktiviti ekonomi dengan peluang perniagaan disesuaikan mengikut potensi setiap daerah.
“Bagi penduduk yang ada di kawasan MRL, kita ada tujuh stesen di mana kita telah mengadakan perbincangan supaya ketujuh-tujuh stesen ini kita bincang dan kita pastikan ada peluang-peluang peniaga yang dapat dihubungkan dan tanggungjawab ini saya telah serahkan kepada PBT untuk melihat mengikut kesesuaian di daerah-daerah itulah,” katanya.
Beliau berkata, antara peluang yang boleh diwujudkan termasuk jualan buah-buahan serta makanan dan minuman di kawasan stesen, selain menyeru anak-anak Pahang merebut ruang yang tersedia.
Dalam pada itu, beliau berkata pengoperasian ECRL juga akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat untuk berulang-alik dari Kuantan ke Kuala Lumpur serta daerah-daerah lain di Pahang, selain perjalanan ke Terengganu dan Kota Bharu.
Beliau berkata demikian selepas berpeluang menaiki kereta pelaju ECRL bagi meninjau sendiri kemudahan yang disediakan, termasuk bilik perbincangan, surau serta ruang makan dan minum yang disifatkannya selesa dan canggih.
“Saya telah menaiki beberapa kereta api laju di luar negara seperti di Itali , Sepanyol dan Jakarta, yang saya dapati kereta api laju yang saya menaiki sekarang ini adalah antara yang tidak kurang canggihnya berbanding dengan kereta pelaju yang lain.” PAHANGMEDIA.

