Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Shahrizar Azdhar
PEKAN, 01 OKTOBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang berhasrat memperkukuh hubungan antara inovasi teknologi tempatan dengan pelaburan langsung asing (FDI) bagi meningkatkan daya saing industri negeri, khususnya sektor pertanian berasaskan teknologi pintar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PahangGo Sdn Bhd, Encik Ts. Affandi Mohd Isa, kerjasama strategik antara pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) perlu diperkukuh bagi memastikan industri tempatan turut mendapat manfaat daripada kemasukan pelaburan ke negeri ini.

“Kita mahu memastikan industri tempatan bukan sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya turut berperanan sebagai pembekal, rakan teknologi, rakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta rakan perniagaan kepada pelabur domestik dan antarabangsa.
“Hubungan ini perlu bersifat dua hala apabila FDI membawa masuk modal, teknologi dan jaringan global ke Pahang, manakala DDI pula memperkukuh perniagaan tempatan, pembangunan bakat serta keupayaan industri negeri.
“Apabila semua elemen ini digabungkan, kita mampu membentuk ekosistem pelaburan yang bukan sahaja menjana pertumbuhan ekonomi, malah membuka peluang kepada syarikat Pahang untuk menembusi pasaran serantau dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutup Siri Smart Harvest: Agri-Tech Summit – AI Meets Durian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Pahang turut menggalakkan hubungan lebih erat antara pelabur antarabangsa, syarikat tempatan, institusi pengajian tinggi dan pembangun teknologi bagi membentuk ekosistem pertanian berasaskan inovasi yang lebih berdaya saing.
Dalam pada itu, beliau menyatakan kerjasama antara universiti dan pemain industri juga perlu diperkasa supaya hasil penyelidikan tidak hanya terhenti di makmal atau peringkat akademik, sebaliknya dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang berpotensi untuk dikomersialkan.

“Petani dan pemain industri perlu berkongsi cabaran sebenar yang dihadapi dengan penyelidik serta pembangun teknologi supaya permasalahan tersebut dapat diterjemahkan kepada penyelidikan dan seterusnya penyelesaian digital yang praktikal.
“Melalui pendekatan ini, kita dapat mewujudkan satu laluan yang jelas bermula daripada mengenal pasti masalah sebenar, menjalankan penyelidikan, membangunkan teknologi, pengujian, penggunaan sehingga ke peringkat pengkomersialan,” katanya.
Beliau turut berharap usaha berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pertanian bernilai tinggi serta memperkukuh kedudukan Pahang sebagai negeri yang menghubungkan sumber tempatan, kepakaran teknologi dan inovasi dengan peluang pasaran global. -PAHANGMEDIA

