Oleh: Syafiqah Jamaluddin
BENTONG, 26 SEPTEMBER 2026: Operasi Genting Highlands terus memberi limpahan ekonomi kepada Pahang menerusi peluang pekerjaan kepada kira-kira 10,000 pekerja yang secara tidak langsung menjana kuasa perbelanjaan dan aktiviti ekonomi di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam, yang mewakili Menteri Besar Pahang, berkata pendapatan yang diterima pekerja bukan sahaja memberi manfaat kepada keluarga masing-masing, malah turut menggerakkan pelbagai sektor ekonomi menerusi perbelanjaan barangan dan perkhidmatan.
Beliau berkata, pelaksanaan Perjanjian Kolektif ke-14 yang merangkumi pelarasan gaji sebanyak 10 peratus serta gaji minimum RM1,800 memberi kesan positif terhadap pendapatan pekerja dan seterusnya rantaian ekonomi negeri.

“Kalau RM1,800 dikalikan dengan 10,000 pekerja, lebih kurang RM18 juta sebulan. Kalau dikalikan setahun, kita ada lebih daripada RM216 juta yang dirangkumkan dalam ekonomi negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Jubli Emas ke-50 Kesatuan Pekerja-Pekerja Genting Malaysia Berhad yang berlangsung di Genting International Convention Centre (GICC), Genting Highlands, di sini malam tadi.
Menurutnya, peningkatan pendapatan pekerja akan memberi manfaat lebih luas apabila kuasa perbelanjaan tersebut disalurkan semula ke dalam ekonomi menerusi pembelian barangan, perkhidmatan dan keperluan keluarga.
Katanya, sumbangan Genting kepada Pahang juga tidak terhad kepada penyediaan peluang pekerjaan, malah merangkumi pembelian, penajaan dan sumbangan yang memberi manfaat kepada masyarakat serta negeri.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan Genting Highlands sebagai antara tiga kawasan peranginan tanah tinggi utama Pahang selain Cameron Highlands dan Fraser’s Hill yang mempunyai nilai penting kepada sektor pelancongan negeri.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh warga kerja dan pihak berkepentingan supaya bersama-sama menjaga kelestarian Genting Highlands agar terus menjadi destinasi peranginan terkemuka bukan sahaja dalam negara, malah di peringkat antarabangsa.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada Kesatuan Pekerja-Pekerja Genting Malaysia Berhad yang mencapai usia 50 tahun sejak pendaftaran rasminya pada 27 Februari 1976, yang disifatkan mencerminkan ketahanan, pengalaman dan kepercayaan ahli terhadap organisasi berkenaan.
Pada masa sama, beliau menghargai kejayaan kesatuan dan pihak pengurusan mencapai Perjanjian Kolektif ke-14 yang turut merangkumi penambahbaikan kebajikan pekerja.
Dato’ Amizar berkata, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa menyokong usaha yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya dalam memperkukuh kesejahteraan pekerja serta menyumbang kepada kemajuan ekonomi negeri.
Sambutan Jubli Emas ke-50 itu turut menghimpunkan lebih 2,000 warga kesatuan, pihak pengurusan Genting Malaysia Berhad, barisan kepimpinan dan bekas pemimpin kesatuan serta wakil gerakan pekerja dari dalam dan luar negara. – PAHANGMEDIA

