Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
CAMERON HIGHLANDS, 24 SEPTEMBER 2026 : Penduduk di daerah ini menghargai usaha Kerajaan Negeri menyediakan ruang menyuarakan secara terus masalah yang dihadapi menerusi sesi Townhall sempena Program Sentuhan Makmur Rakyat (PSRM) Negeri Pahang peringkat Daerah Cameron Highlands yang berlangsung di Dewan Puncak Arabella, Tanah Rata, di sini hari ini.
Program berkenaan dihadiri YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pegawai Daerah Cameron Highlands, YH. Tuan Kamarul Iskandar Nordin; serta barisan ketua-ketua jabatan.
Pesara, Haji Osman Sani, 79, yang sudah dua kali menyertai program berkenaan berkata, beliau melihat pendekatan itu sebagai satu usaha yang berjaya kerana penduduk boleh berkongsi masalah untuk perhatian kerajaan negeri.

“Pandangan saya, berjaya lah. Daripada Kerajaan Negeri Pahang, ‘start’ dia buat program ini untuk penduduk di Cameron Highlands ini, apa masalah dapat diselesaikan.
“Antara masalah yang timbul adalah masalah jalan. Bila jalan ini, pelancong datang, jalan sempit, kalau dapat jalan dibesarkan,” katanya.
Menurutnya, peluang untuk menyampaikan masalah secara langsung kepada pihak kerajaan membuatkan beliau berharap program tersebut dapat diteruskan dan disertai lebih ramai penduduk.
“Harapan saya, semoga Kerajaan Negeri membantulah rakyat di Cameron Highlands. Maknanya akan berkekalan lagi lah (PSRM) dan semoga penduduk lebih ramai lagi lah yang dapat hadir di Cameron Highlands” katanya lagi.
Sementara itu, penduduk Kampung Sungai Ubi, Encik Bahnot Bahkumas, 65, yang juga menyertai PSRM buat kali kedua berkata kesinambungan program itu penting kerana penduduk mahu mengetahui perkembangan perkara yang berlaku di daerah serta negeri.

“Program ini diteruskan sebab kita nak tahu, sepanjang tahun, apa akan berlaku. Sebab kita nak menyelesaikan masalah daerah dan juga negeri. Dia ‘direct’ perantaraan penduduk daerah Cameron Highlands dengan Kerajaan Negeri.
“Ya, teruskan utarakan masalah-masalah yang tak dapat diselesaikan,” ujarnya.
Encik Bahnot dalam masa sama turut menghargai usaha pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang (SUK) menganjurkan program tersebut buat kali kedua dan berharap ia diteruskan.
“Terima kasih kepada pejabat SUK dapat menganjur kali kedua. ‘Next’, kena buat lagi lah. Sebab apa, kita nak melontarkan apa masalah yang tak selesai lagi,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

