Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUALA LUMPUR, 24 SEPTEMBER 2026 : Keunikan produk keluaran usahawan Pahang berjaya menarik perhatian pengunjung di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) menerusi kepelbagaian produk yang mengetengahkan cita rasa autentik tempatan selain menawarkan kemudahan kepada pengguna.
Menurut seorang pengunjung dari Sumatera, Indonesia, Puan Sari Novita, 52, beliau tertarik dengan produk makanan sedia dimakan berteknologi retort keluaran usahawan Pahang yang mempunyai jangka hayat lebih panjang.

Katanya, produk seumpama itu yang diusahakannya di Indonesia ketika ini hanya mampu bertahan sekitar enam bulan, sekali gus mendorongnya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kaedah penghasilan produk keluaran usahawan Pahang yang mampu bertahan sehingga dua tahun.
“Kebetulan saya di Indonesia jual produk yang sama seperti ini, tapi saya tertarik dengan produk Pahang kerana ia boleh bertahan selama dua tahun, manakala produk kami hanya enam bulan. Jadi, saya nak tahu dan belajar cara itu.
“Sambal-sambalnya yang tidak ada di Padang dan saya juga tertarik dengan nasi goreng kampung yang boleh bertahan selama dua tahun,” katanya.

Sementara itu, Puan Siti Nabila Hasan, 35, berkata produk makanan sedia dimakan keluaran usahawan Pahang memberi kemudahan kepada pengguna untuk menikmati cita rasa autentik negeri ini dengan lebih mudah.
Katanya, antara menu yang sinonim dengan Pahang ialah ikan patin tempoyak, manakala produk berasaskan durian turut mengetengahkan keunikan hasil pertanian negeri.
“Salah satunya kita tahu Pahang adalah tempat perladangan untuk durian. Kalau orang Pahang, mesti tahu kebanyakan menu kesukaan ialah patin tempoyak.
“Jadi, produk ini mempercepatkan. Kalau nak makan, kita perlu cari bahan dan sediakan sendiri, tetapi produk ini sudah tersedia dan memudahkan proses.
“Saya kagum apabila usahawan Pahang menghasilkan sambal belacan dan sambal tempoyak sedia dimakan. Selalunya benda-benda macam ini kita nak makan kena buat sendiri dan prosesnya sangat rumit,” katanya.

Sementara itu, Puan Noryanty Shamsudin, 47, berpandangan produk keluaran usahawan Pahang mempunyai potensi untuk menembusi pasaran antarabangsa, termasuk produk ikan patin berteknologi retort yang mengetengahkan keistimewaan makanan dari Temerloh.
“Saya nampak banyak produk Pahang yang baharu dan sangat bagus. Jadi, memang ada potensi untuk ke luar negara dan kita dah tahu produk ikan patin itu keistimewaan dari Temerloh dan semestinya kita cari yang terbaik,” katanya.
Seramai 20 usahawan Pahang dihimpunkan di Pavilion Pahang sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dari 23 hingga 26 September 2026.-PAHANGMEDIA

