Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Shahrizar Azdhar
ROMPIN, 20 SEPTEMBER 2026 : Isu penerokaan tanah secara haram di kawasan Hutan Simpan Kekal Tasik Bera perlu disiasat secara menyeluruh bagi mengenal pasti pihak sebenar yang bertanggungjawab, termasuk kemungkinan wujud pihak luar yang menggunakan nama masyarakat Orang Asli untuk membuka kawasan berkenaan.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Dato’ Sri Dr. Ramli bin Dato’ Mohd Nor berkata, sebarang dakwaan berhubung kegiatan berkenaan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat berdasarkan bukti dan bukan dibuat berasaskan andaian.
“Biarlah pihak yang berkuasa menyiasat, jangan kita buat kesimpulan dan jangan kita datang dengan pendapat yang mengatakan sebegini sehingga menggelisahkan masyarakat negara dan Orang Asli itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus ‘1 Kampung, 1 Pemimpin’ Masyarakat Orang Asli Daerah Rompin Tahun 2026 anjuran Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Rompin di Hotel Rompin Beach Resort, Kuala Rompin, di sini hari ini.
Menurut beliau, sekiranya siasatan mengesahkan berlaku penerokaan secara haram, tindakan tegas perlu diambil termasuk merampas kawasan berkenaan dan memulihkannya sebagai hutan simpan bagi memastikan kelestarian kawasan tersebut terus terpelihara.
Katanya, skala penerokaan yang dilaporkan juga perlu diberi perhatian serius, malah beliau menyebut anggaran sekitar 18,000 hektar atau kira-kira 24 peratus daripada keseluruhan kawasan Ramsar Tasik Bera telah diterokai.
“Kalau data yang saya tengok, itu bukan sikit-sikit. Kalau tadi saya kira dengan pegawai saya, yang diterokai lebih kurang 24 peratus daripada keseluruhan kawasan Ramsar itu,” katanya.
YB Dato’ Sri Dr. Ramli berkata, sekiranya penerokaan berskala besar itu benar berlaku, siasatan perlu meneliti sumber kewangan, kaedah pembukaan tanah serta pihak yang mengurus dan menjual hasil tanaman bagi mengenal pasti rantaian sebenar kegiatan tersebut.
“Kalau betul orang Asli ini, daripada mana duit dia dapat, macam mana dia buka, selama ini macam mana dia jual kelapa sawit itu, akan terpecah,” katanya.
Beliau yang mempunyai pengalaman 34 tahun berkhidmat dalam badan berkanun berkata, perkara berkenaan perlu disiasat secara menyeluruh dan tidak wajar mana-mana pihak terus menuding jari kepada masyarakat Orang Asli sebelum bukti diperoleh.
“Bagi saya, lebih praktikal biar badan yang berkaitan menyiasat dan keluarlah nanti cerita. Saya tidak mahu meletakkan anggapan orang ini macam ini, orang macam ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat Orang Asli supaya memahami peruntukan undang-undang berkaitan tanah serta berhati-hati memberikan kepercayaan kepada pihak luar bagi mengelakkan nama dan kepentingan mereka dimanipulasi.
“Orang Asli kena faham dan kena tahu bahawa tanah hanya kelulusan oleh kerajaan negeri untuk dibuka. Kawasan rayau juga ditentukan oleh kerajaan negeri,” katanya.
Mengulas video yang tular berkaitan isu berkenaan, beliau meminta masyarakat supaya tidak terus membuat kesimpulan sebelum kesahihan kandungan tersebut disahkan, termasuk sama ada video berkenaan telah disunting atau diubah.
“Nombor satu, kita kena sahkan authenticity, betul ataupun diedit ataupun tidak,” katanya sambil menegaskan sebarang operasi agensi juga perlu mengambil kira prosedur serta sensitiviti masyarakat dan agama. -PAHANGMEDIA

