Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 1 NOVEMBER 2026 : Pelaksanaan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di Pahang perlu diterjemahkan kepada inisiatif bersasar yang mampu memperluas peluang ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah, belia dan penduduk luar bandar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, pembangunan negeri bukan sekadar diukur melalui pertumbuhan ekonomi, sebaliknya perlu memastikan setiap lapisan masyarakat turut menikmati manfaatnya.

“Bagi Kerajaan Negeri Pahang, keutamaan kita ialah memastikan kemajuan negeri membuka peluang kepada anak-anak muda, membantu keluarga meningkatkan taraf hidup dan memperluas akses kepada perkhidmatan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Program SDG Bersasar Peringkat Tempatan Tahun 2026 di The East, Paya Besar di sini, hari ini, sebagai wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi perlu disusuli dengan peluang yang lebih inklusif, selain memastikan kemudahan asas dan perkhidmatan berkualiti dapat dinikmati sehingga ke peringkat komuniti.

“Tahap akses yang tinggi perlu disertai perkhidmatan yang berkualiti dan boleh diharap.
“Begitu juga dengan pertumbuhan ekonomi, kita perlu melihat sejauh mana keluarga berpendapatan rendah, penduduk luar bandar dan golongan yang memerlukan sokongan dapat mengambil bahagian dalam peluang yang tersedia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Sungai Lembing mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan perlombongan dan keindahan alam semula jadi, sekali gus membuka peluang menjana pendapatan kepada penduduk setempat.
Katanya, potensi berkenaan boleh dimanfaatkan bagi merancakkan kegiatan ekonomi komuniti termasuk pengusaha penginapan, peniaga makanan, pemandu pelancong dan penyedia perkhidmatan tempatan.

Program berkenaan merupakan inisiatif Kementerian Ekonomi menerusi Pusat SDG Negara dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi mendekatkan agenda pembangunan mampan kepada masyarakat melalui penglibatan agensi kerajaan, komuniti dan golongan belia.
Penganjurannya turut diselaraskan dengan Pahang International Scout for SDGs Festival 2026 yang berlangsung di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Paya Besar, Gambang.
Turut hadir Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Sri Mohd Shahar bin Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBrs. Encik Syamsul Farizz Nadzeri; Pengarah Pusat SDG Negara, YBrs. Tuan Asfaazam Kasbani serta barisan ketua jabatan. -PAHANGMEDIA

