Oleh: Nur Saadah Artika
KUANTAN, 21 SEPTEMBER 2026 : Hampir 10,000 umat Islam termasuk pengurusan masjid, surau kebenaran Jumaat, institusi tahfiz dan pondok serta pelajar tahfiz dan pondok berhimpun dalam Majlis Perasmian Ijtimak Ummah Negeri Pahang dan Penyampaian Inisiatif Makmur (IM) Pahang Kluster Agama di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (UNIQSAAS), di sini malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, penganjuran Ijtimak Ummah berkenaan merupakan kesinambungan daripada Himpunan Huffaz yang dianjurkan kira-kira dua bulan lalu menerusi kerjasama Yayasan Pahang bersama Timbalan Perdana Menteri.

Menurut beliau, atas hasrat YAB Menteri Besar Pahang untuk memperluaskan manfaat program berkenaan, himpunan kali ini dianjurkan dalam skala lebih besar dengan menghimpunkan pelbagai kelompok dalam kluster agama.
“Dua bulan lepas, YAB Timbalan Perdana Menteri telah berjaya mengadakan satu program bersama Yayasan Pahang iaitu Himpunan Huffaz. Jadi kali ini, YAB Menteri Besar minta untuk buat dengan lebih besar dan lebih bermanfaat, dinamakan Himpunan Ummah ataupun Ijtimak Ummah.
“Kita jangkakan hampir 10,000 orang dari pagi tadi sampai malam ini dapat berhimpun di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di UNIQSAAS,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan malam tadi.

Beliau berkata, penganjuran Ijtimak Ummah berkenaan turut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang untuk sentiasa dekat dengan kluster agama, khususnya mereka yang terlibat dalam pengurusan dan pengimarahan institusi masjid serta pendidikan Islam.
Dalam majlis sama, Kerajaan Negeri turut menyampaikan sumbangan menerusi IM Pahang kepada institusi agama sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh pengurusan serta aktiviti keagamaan di peringkat akar umbi.
“Setiap masjid tadi kita beri sebanyak RM10,000 sebagaimana yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar.
“Surau kebenaran Jumaat sebanyak 92 buah menerima RM4,000, manakala 120 buah maahad tahfiz dan pondok berjaya kita sampaikan amanah daripada YAB Menteri Besar sebanyak RM2,000 setiap satu.
“Pelajar-pelajar tahfiz juga menerima sumbangan imbuhan daripada YAB Menteri Besar, masing-masing sebanyak RM100,” katanya.

Tambah beliau, pengisian ilmu menerusi Ijtimak Ummah turut menjadi platform penting dalam menyampaikan mesej berkaitan kedamaian, pembinaan sahsiah, perpaduan dan ukhuwah kepada penggerak agama di seluruh negeri.
Katanya, kehadiran tokoh ulama dari Mesir dalam program berkenaan memberi nilai tambah kepada pengisian Ijtimak Ummah, sekali gus membuka ruang kepada peserta untuk memperkukuh kefahaman serta peranan mereka dalam membimbing masyarakat.
“Kita berharap dengan adanya majlis ini, majlis ilmu apatah lagi didatangi oleh tokoh ulama daripada Mesir yang menyampaikan mesej-mesej tentang kedamaian, tentang pembinaan sahsiah, tentang perlunya kita membela diri, membela perpaduan dan membina ukhuwah, dapat memberi kesedaran kepada mereka yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama di peringkat kariah di negeri Pahang ini,” katanya.
Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM7.55 juta menerusi IM Pahang bagi bantuan Kluster Agama Tahun 2026 yang melibatkan pelajar tahfiz dan pondok, institusi tahfiz dan pondok serta masjid dan surau kebenaran Jumaat. -PAHANGMEDIA

