Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 17 SEPTEMBER 2026 : Lebih 7,000 pengunjung memeriahkan Sambutan Hari Malaysia 2026 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur yang berlangsung di Dataran Temerloh, di sini malam tadi.

Sambutan yang berlangsung dalam suasana penuh meriah itu turut diserikan dengan pelbagai acara antaranya brisk walk ‘Walk A Town With Me Pahang 1st’, persembahan kebudayaan pelbagai kaum serta persembahan artis undangan Tengku Mimi, Rachel Ang, Santesh, Nadeera dan Mus May.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun perlu dihayati sebagai simbol kebersamaan rakyat dalam membina sebuah negara yang aman, stabil dan bersatu padu.

“Hari Malaysia mengingatkan kita bahawa negara ini dibina atas semangat untuk hidup bersama, saling menghormati dan menerima kepelbagaian.
“Kita mungkin berbeza kaum, agama, budaya dan latar belakang, tetapi kita berkongsi satu negara dan satu masa depan,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan berkenaan.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta ketua-ketua jabatan.
Menurutnya, keamanan, kestabilan dan perpaduan dalam kalangan rakyat perlu terus diutamakan serta menjadi tanggungjawab semua pihak untuk dipelihara, selain menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk membawa program berskala besar ke seluruh daerah di Pahang.

Katanya lagi, penganjuran program seperti itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan peringkat negeri, malah memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat termasuk peniaga kecil, pengusaha makanan dan pengeluar produk tempatan. -PAHANGMEDIA

