Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 17 SEPTEMBER 2026 : Pengalaman pertama menjadi pemakai maskot YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atau Tok Wan pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang di Dataran Temerloh di sini, malam tadi menjadi kenangan manis buat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bahagia Temerloh, Muhammad Haziq Izzuddin Mohd Saiful Bahari, 17.
Menurut Muhammad Haziq, dia secara sukarela menawarkan diri untuk menjadi pemakai maskot berkenaan pada saat akhir kerana mahu menghiburkan orang ramai, khususnya kanak-kanak yang hadir memeriahkan sambutan.
“Pada mulanya ‘last minute’ ini, tapi saya ‘volunteer’ untuk menjadi maskot sebab saya suka hiburkan orang lain.
“Mestilah bangga kan. Bangga, ‘happy’, tapi di sebalik rasa itu mesti ada lelah dan penat dia,” katanya ketika ditemui pada sambutan berkenaan.
Katanya, sambutan orang ramai terhadap maskot Tok Wan amat menggalakkan, terutama dalam kalangan kanak-kanak yang kelihatan teruja untuk berinteraksi dengannya.
“Alhamdulillah, sambutan daripada kanak-kanak ada, yang menangis pun ada. Lepas itu, mereka ‘happy’ sebab saya sambut mereka dengan maskot ini,” katanya.

Mengulas pengalaman paling diingati sepanjang memakai maskot itu, Muhammad Haziq berkata, detik memeluk Tok Wan ketika sesi perasmian menjadi pengalaman paling epik buat dirinya.
“Saya dapat masa perasmian tadi, saya dapat peluk Tok Wan dengan pakai maskot ini tanpa Tok Wan tahu (pemakai maskot),” ujarnya.
Tambahnya, penglibatannya sebagai pemakai maskot itu merupakan pengalaman pertama dan dia tidak pernah mempunyai pengalaman sedemikian sebelum ini.
“Ada (rasa) berdebarlah pertama kali kan. Tapi saya cuba lawan perasaan tu. Pengalaman yang macam… jadi tak rasa malu. Saya jadi ‘happy go lucky’, tak rasa ‘awkward’ lah,” katanya lagi.
Mengenai pandangannya terhadap Tok Wan sebagai seorang pemimpin, Muhammad Haziq menyifatkan figura berkenaan sebagai seorang pemimpin yang adil dan melayani rakyat dengan baik tanpa mengira latar belakang.
“Saya nampak beliau seorang pemimpin yang adil dan melayani rakyat dengan baik, tanpa ada pilih kasih sayang seperti bangsa lain ke apa semua,” ujarnya lagi.
Walaupun mengakui berdebar kerana pertama kali melakukan tugasan berkenaan, Haziq berkata, dia cuba melawan perasaan tersebut bagi memastikan peranannya sebagai maskot dapat dilaksanakan dengan baik.-PAHANGMEDIA

