Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 17 SEPTEMBER 2026 : Kutipan hasil Kerajaan Negeri Pahang bagi tahun ini telah melepasi RM1 bilion, sekali gus mencatat pencapaian berkenaan untuk tempoh lima tahun berturut-turut.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu merupakan sesuatu yang luar biasa memandangkan pada tahun-tahun sebelumnya, kutipan hasil negeri pada September hanya berada pada paras RM800 juta hingga RM900 juta.
“Alhamdulillah, pada malam ini suka saya nak umumkan bahawa kutipan hasil negeri bagi tahun 2026 sehingga hari ini telah pun melepasi angka RM1 bilion, untuk lima tahun berturut-turut, tanpa membebankan rakyat.
“Bagi saya, angka ini menunjukkan bahawa pengurusan kewangan dan pentadbiran negeri kita semakin kukuh,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Dataran Temerloh di sini malam tadi.
Katanya, pencapaian tersebut hasil daripada usaha berterusan kerajaan negeri memperkemas sistem kutipan hasil, meningkatkan kecekapan pentadbiran, mengawal ketirisan, memperkukuh pematuhan serta mengoptimumkan sumber negeri.
Tambahnya, prestasi itu turut disokong oleh peranan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC) yang terus memberikan pulangan baik kepada kerajaan.
“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga bekerja keras menarik pelaburan, mengembangkan aktiviti ekonomi dan membuka lebih banyak ruang kepada sektor swasta serta usahawan mikro, kecil dan sederhana.
“Bila ekonomi berkembang, aktiviti perniagaan meningkat, peluang pekerjaan bertambah, pendapatan rakyat boleh dipertingkatkan dan sumber hasil negeri turut menjadi lebih kukuh,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Dataran Temerloh malam tadi berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 7,000 orang.
YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, penganjuran program berskala besar di daerah seperti Temerloh dapat memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat, khususnya peniaga kecil, pengusaha makanan serta pengeluar produk tempatan.
“Saya memang mahu program-program besar Kerajaan Negeri dibawa ke seluruh daerah. Jangan semuanya tertumpu di Kuantan.
“Pahang ini luas dan setiap daerah mempunyai kekuatan serta potensinya sendiri. Bila program besar diadakan di daerah seperti Temerloh, kita mahu rakyat setempat turut mendapat manfaat,” katanya lagi.
Majlis turut dihadiri YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta ketua-ketua jabatan.-PAHANGMEDIA

