Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
BENTONG, 16 SEPTEMBER 2026 : Inisiatif Makmur (IM) Pahang Kluster Siswa disifatkan mampu meringankan beban kewangan mahasiswa, khususnya dalam menampung kos pengajian, sewa kediaman dan keperluan harian sepanjang berada di institusi pengajian tinggi (IPT).
Bagi A’lia Imaani Zulqarnain, 21, bantuan berkenaan memberi kelegaan kepadanya dalam menampung keperluan sepanjang pengajian, sekali gus membantu mengurangkan beban keluarga.

“Alhamdulillah, bersyukur kita orang sebagai mahasiswa Pahang diberi peluang, diberi inisiatif untuk belajar. Jadi, gembiralah perasaan itu.
“Kita dah semester kedua, dah kena duduk dekat rumah sewa, banyak keperluan yang diperlukan. Jadi, dengan inisiatif ini dapat bantulah kita yang student ini dan dapatlah tanggung serba sedikit bantu keluarga,” katanya.

Manakala bagi Muhammad Adam Hakimi Zulkifli, 22, bantuan berkenaan amat bermakna dalam membantu menampung perbelanjaannya sepanjang menjalani latihan industri.
“Saya rasa sangat gembira disebabkan dalam masa intern ini banyak dugaan untuk saya terutama dari segi kewangan. Contohnya dari segi tempat tinggal. Jadi, dekat situ banyak gunakan koslah dan bila dapat bantuan ini saya rasa sangat bersyukurlah.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih banyak kepada Kerajaan Negeri Pahang untuk sumbangan mahasiswa ni yang sangat membantu saya untuk teruskan intern saya,” katanya.

Dalam pada itu, Lishalini A/P Ganesan, 24, berkata bantuan berkenaan amat diperlukan bagi membantunya menampung kos pendahuluan rumah sewa sepanjang melanjutkan pengajian.
“Sangat-sangat berterima kasih sebab saya memang perlukan duit ini sebab sebelum ini belajar saya dapat hostel, sekarang saya tak dapat. Jadi, bantuan ini boleh tampung saya bayar deposit (rumah sewa) dan lagi satu beli untuk study,” katanya.
Seramai 146 mahasiswa dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai menerima manfaat Inisiatif Makmur Pahang Kluster Siswa pada majlis penyerahan peringkat DUN Jelai yang berlangsung di GEO Resort & Hotel, Genting Highlands. -PAHANGMEDIA

