Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang & Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 14 SEPTEMBER 2026 : YPM FC dinobatkan juara sulung Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st selepas menjinakkan Majlis Daerah Raub (MDR) FC dengan kemenangan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Darul Makmur, semalam.
Lebih manis kejayaan berkenaan turut disaksikan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj yang berkenan bercemar duli hadir menyaksikan perlawanan akhir berkenaan.
Pasukan YPM FC membawa pulang Piala Al-Sultan Abdullah dan wang tunai RM40,000 hasil jaringan Wan Muhammad Akmal Hakim Wahab pada minit ke-13 dan Nasyrullah Mohd Zaki pada minit ke-40.
Manakala pasukan Majlis Daerah Raub FC pula menyumbang gol tunggal menerusi Zaiful Zakwan Arnain pada minit ke-80.

Trofi kejuaraan liga disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang kemudiannya diraikan bersama barisan pemain YPM FC.
Hadir sama, Timbalan Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Dato’ Sri Mohd Shahar Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Fadzli Mohamad Kamal; dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Sambutan penuh gemilang itu turut diserikan dengan persembahan daripada artis Azlan & Typewriter, Ara Johari, Baggio Damasutra, Kid yang juga gitaris Search serta Arghpiez, serta pertunjukan bunga api.
Saingan yang bermula sejak Jun lalu itu menghimpunkan 105 pasukan dari seluruh daerah di Pahang bagi memberi ruang kepada bakat baharu untuk diketengahkan selain platform menyatukan komuniti menerusi bola sepak. -PAHANGMEDIA

