Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
SELANGOR, 23 OGOS 2026 : Skuad hoki wanita Pahang mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) buat tiga edisi berturut-turut selepas menewaskan Wilayah Persekutuan menerusi penentuan penalti shoot-out sudden death pada aksi final di Padang Hoki Pandamaran, hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan Pahang terus mengungguli acara berkenaan selepas turut meraih emas pada edisi 2022 dan 2024, sekali gus melengkapkan hatrik kejuaraan pada SUKMA 2026.
Pada aksi sengit tersebut, Pahang terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada suku kedua sebelum Wilayah Persekutuan bangkit memberikan tekanan sehingga berjaya menyamakan kedudukan.
Keputusan terpaksa ditentukan menerusi penalti shoot-out sebelum Pahang muncul juara selepas penjaga golnya menjadi wira dengan aksi cemerlang ketika penentuan sudden death.

Ketua Jurulatih Hoki Wanita Pahang, Encik Mohamad Sabri Mohamad berkata berkata, beliau pada awalnya berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang berjaya melaksanakan perancangan permainan seperti ditetapkan, namun mengakui pasukannya sedikit leka pada suku ketiga dan keempat sehingga membenarkan lawan menjaringkan gol.
“Memang kita target untuk menang pingat emas. Dan yang paling manis sekali, saya dapat bawa tiga pingat emas untuk Pahang secara berturut-turut, 2022, 2024, dan 2026. Hatrik untuk negeri Pahang, pingat emas.
“Tapi saya tetap percaya yang kita ada experience yang cukup di pentas, apa ni, di perlawanan penalti shootout. Dan hari ini, alhamdulillah, pemain-pemain dan penjaga gol sangat menunjukkan permainan yang cemerlang untuk membantu Pahang menang pingat emas yang kali ketiga, hatrik,” katanya ketika ditemui selepas selepas perlawanan.
Perlawanan berkenaan turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Fadzli Mohamad Kamal, Ketua Kontinjen Pahang, YB Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin dan Pengarah Majlis Sukan Pahang, Encik Mahadir Abdul Raffar.

Menurut Encik Mohamad Sabri, kejayaan mempertahankan kejuaraan itu sememangnya menjadi sasaran pasukan sejak awal dan lebih manis apabila beliau berjaya membawa pulang tiga pingat emas berturut-turut buat Pahang.
“Memang dari awal sasaran kami adalah untuk menang pingat emas dan yang paling manis ialah saya dapat membawa tiga pingat emas untuk Pahang secara berturut-turut, iaitu pada 2022, 2024 dan 2026,” ujarnya.
Mengulas perancangan selepas kejayaan itu, beliau berkata persiapan pasukan bagi menghadapi SUKMA 2028 akan dimulakan lebih awal bagi memastikan Pahang mampu mengekalkan penguasaan dalam acara berkenaan.
“Saya dah bagitahu pemain-pemain saya yang mana boleh main SUKMA, kita akan ‘keep on track’ untuk ‘training’, kita akan ‘prepare’ 2028 punya SUKMA, kita akan ‘prepare’ awal. Kita nak lagi untuk dapatkan pingat emas untuk Negeri Pahang,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

