Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
SELANGOR, 22 OGOS 2026 : Skuad karate Pahang mencatat pencapaian terbaik dalam tempoh 14 tahun apabila mengutip lima pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) kali ini, termasuk satu emas, dua perak dan dua gangsa.
Pengurus Pasukan Karate Pahang, Encik Redha Akmal Mohd Ridza berkata, pencapaian berkenaan merupakan kutipan pingat paling banyak pernah diraih skuad karate negeri dalam tempoh 14 tahun, sekali gus menunjukkan peningkatan prestasi pasukan.
“Sejarah sepanjang 14 tahun ni, tahun ni lah pungutan pingat untuk karate paling banyak, lima pingat, sebab sebelum ni, 2012, dua pingat saja.
“Dan yang terbaru sebelum ini, di Miri, Sarawak pun dua pingat. Yang ini paling banyak, dan ‘gold ‘untuk Noah, dua ‘silver’, dan dua ‘bronze’. Satu pencapaian yang bagus untuk karate (Pahang),” katanya ketika ditemui selepas selasai majlis penyampaian pingat, di sini Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, di sini hari ini.
Encik Redha berkata, antara cabaran utama pasukan adalah mendapatkan dan mengumpulkan atlet berkualiti memandangkan Pahang mempunyai kawasan yang luas, selain memastikan komitmen atlet untuk mengikuti latihan secara konsisten.

“Cabaran dia sebenarnya nak dapatkan… kumpulkan pemain-pemain yang bagus sebab Pahang besar dan komitmen pemain itulah sebenarnya untuk bersama latihan,” ujarnya.
Tambahnya, pencapaian lima pingat itu perlu dijadikan asas untuk pasukan terus memperbaiki prestasi dan tidak berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai pada edisi kali ini.
“Harapan… kita perlu perbaikilah. Jangan berhenti dekar sini, setakat lima, kita ‘up’ lagi. Macam tadi kita ada potential lagi dua (emas), kita harus perbaiki, ‘up’ lagi untuk akan datang ini. 2028, insyaAllah kita nak sekurangnya tiga (emas). Kita ‘improve’ lagi daripada sekarang,” katanya lagi.
Kejayaan itu turut menyaksikan penantian panjang karate Pahang untuk meraih emas dalam acara Kumite Individu Lelaki -75 kilogram (kg) berakhir selepas Noah Iskandar, menewaskan wakil Kedah 3-2 pada aksi final, semalam.
Noah, 20, yang membuat penampilan terakhir di pentas SUKMA menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu kebanggaan kerana dapat menyumbang pingat emas kepada negeri kelahirannya.

“Saya rasa bangga dapat mewakili Pahang sebagai anak Pahang, dapat menyumbang emas, salah seorang yang menyumbang emas sebab karate dah lama sangat tak dapat medal daripada acara saya, jadi saya amat bangga lah dapat buat sesuatu yang besar untuk negeri Pahang dan sukan karate,” katanya.
Menurutnya, pengalaman menyertai SUKMA sebelum ini banyak membantu dirinya memperbaiki kelemahan dan membuat persediaan lebih baik walaupun kali ini dia beraksi dalam kategori berbeza.
“Disebabkan saya dah pernah main sekali, walaupun saya naik kategori, tapi saya lebih jelas untuk saya apa yang patut saya buat, apa yang patut saya betulkan, sebelum menjalani SUKMA ni,” katanya.
Lebih manis, kejayaan itu menjadi penutup bermakna buat Noah yang sebelum ini meraih gangsa pada penyertaan terdahulu.
Dalam edisi kali ini, dua pingat perak Pahang disumbangkan Muhammad Afiq Aiman menerusi acara Kata Individu Lelaki dan Quan Oi Heng dalam acara Kata Individu Wanita, manakala Mohamad Hazieq Mohamad Masri dan Samitah A/P Vimalan masing-masing meraih gangsa dalam Kumite Individu Lelaki +84kg dan Kumite Individu Wanita -61kg. -PAHANGMEDIA

